TNB perlu terus melabur bagi memacu peralihan tenaga negara

31 Mei 2022 - Dagang News


KUALA LUMPUR - 31 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu terus melabur bagi memodenkan Grid Nasional untuk meningkatkan lagi prestasinya sebagai utiliti pintar sekalipun rangkaian pembekalan tenaganya sudah mencapai kelas dunia dan setanding dengan negara-negara maju. 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menekankan demikian kepada TNB sebagai pembekal elektrik utama negara, demi menjamin kestabilan bekalan dan memacu peralihan tenaga negara menuju Malaysia neutral karbon menjelang 2050. 

Beliau merujuk kepada pencapaian Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) negara yang berkurangan kepada 45.25 minit pada 2021 di samping rakyat kekal menikmati taraf elektrik antara terendah di Asia Tenggara meskipun sektor tenaga sentiasa ditekan oleh pelbagai faktor luaran dan dalaman. 

"Kerajaan, khusunya Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Suruhanjaya Tenaga (ST) sentiasa bekerja rapat dengan TNB bagi memastikan kestabilan industri tenaga. Kita meletakkan keutamaan bahawa rakyat dapat menikmati bekalan berdaya harap, stabil dan pada harga berpatutan. 

"Malah, sejak sekian lama, rakyat Malaysia berterusan menikmati kadar tarif elektrik antara terendah di rantau Asia Tenggara," katanya berucap di Majlis Perasmian Bangunan TNB di MITC, Ayer Keroh, Melaka hari ini. 

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Yang Di Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam. Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

Takiyudin berkata, Grid Nasional perlu dipersiapkan untuk menerima lebih banyak suntikan tenaga boleh diperbaharui (RE) agar berupaya menyokong aliran tenaga dua arah dan berselang seli, sambil mengekalkan kestabilan voltan. 

Selain itu, katanya, TNB dalam menerajui peralihan tenaga untuk menuju masa depan lebih mampan dan lestari, semakin agresif dalam teknologi hijau termasuk pemasangan panel solar, penyimpanan bateri dan mobiliti rendah karbon yang mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik (EV). 

"Pengurangan jejak karbon melalui teknologi dan inovasi serta mesra alam ini, sejajar komitmen terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai satu norma baharu yang perlu ada pada setiap syarikat masa hadapan,"jelasnya. 

Mengenai isu semasa kenaikan harga bahan api fosil di seluruh dunia, beliau berkata, Malaysia turut menerima impaknya dengan kos penjanaan elektrik meningkat 4.5 kali ganda berikutan arang batu dan gas asli digunakan untuk menjana hampir 93% bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia. 

Sementara itu, Sulaiman berkata, perpindahan TNB Melaka dari Banda Kaba ke MITC menunjukkan komitmen syarikat utiliti itu untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik khususnya demi keselesaan rakyat di Negeri Melaka. 

"Perpindahan lokasi TNB Melaka ini juga membantu merancakkan lagi pertumbuhan kawasan Ayer Keroh serta persekitarannya dengan meningkatkan lagi kegiatan ekonomi masyarakat setempat. 

"Ia sebagai suatu contoh bagaimana penyelesaian yang inovatif memberi manfaat kepada semua," katanya. 

Dibeli pada 2014 daripada Yayasan Melaka pada harga RM75 Juta, bangunan pejabat komersial 14 tingkat itu dengan jumlah keluasan lantai bersih 177,000 kaki persegi, menempatkan kira-kira 450 warga kerja yang sebahagian besarnya dari TNB Banda Kaba. 

Sulaiman menambah, TNB dan Melaka sentiasa bekerjasama demi kesejahteraan rakyat termasuk memperkukuhkan talian penghantaran melalui projek 500kV dari Alor Gajah ke selatan Bahau, pemasangan meter pintar dan pelaksanaan talian atas monopole sepanjang 4.2 kilometer dari Pantai Siring ke Pulau Besar. 

Beliau juga merujuk secara khusus inisitaif TNB melalui anak syarikatnya, Allo Technology Sdn. Bhd. yang merapatkan jurang digital melalui pemantapan infrastruktur serta capaian gentian optik di Melaka, menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang menepati keperluan digital yang stabil dan pantas, sekali gus merancakkan kegiatan ekonomi. 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.