Telco dijangka pegang jumlah saham sama dalam DNB
25 Okt 2023 - Berita Harian
KUALA LUMPUR: Walaupun struktur ekuiti baharu dalam Digital Nasional Bhd (DNB) belum dimuktamadkan lagi, pegangan saham yang sama oleh syarikat telekomunikasi (telco) adalah dijangkakan, demikian kata penganalisis.
AmInvestment Bank dalam nota penyelidikannya berkata, jangkaan itu bersandarkan pengumuman kerajaan untuk memastikan kawalan dan hak sama rata dalam kalangan telco dalam pelancaran 5G.
Ia berkata, pegangan saham maksimum untuk setiap telco adalah 20 peratus menurut Perjanjian Langganan Saham (SSA) sebelumnya.
"Dengan mengandaikan nilai ekuiti DNB pada RM1.5 bilion mengikut anggaran dalam struktur cadangan pertama pada Jun 2022 (70 peratus telco dan 30 peratus Kementerian Kewangan), setiap 14 peratus kepentingan ekuiti telco dalam DNB akan bernilai RM210 juta secara purata.
"Jika struktur baharu itu hanya terdiri daripada telco (100 peratus dimiliki telco), pegangan ekuiti akan meningkat kepada 20 peratus dengan nilai substantif RM300 juta," katanya dalam nota penyelidikannya.
Langganan ekuiti dalam DNB diperlukan oleh telco yang menandatangani Perjanjian Akses 5G (AA), termasuk CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), U Mobile dan YTL Communication.
Ia adalah untuk mempercepatkan pembangunan 5G di negara ini, disasarkan untuk mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk (CoPA) menjelang akhir tahun ini dengan jumlah 7,509 tapak, sebelum bertukar kepada model rangkaian dwi pada awal Januari 2024.
Pada 30 September 2023, CoPA rangkaian 5G DNB telah mencapai 70.2 peratus dengan 5,873 tapak.
Bank pelaburan itu menjangkakan SSA dalam DNB dan struktur ekuiti baharu akan dimuktamadkan dan dilanggan menjelang akhir bulan ini untuk mempercepatkan pelancaran pembangunan 5G di seluruh negara.
Ia berpendapat rangkaian 5G kedua akan dilancarkan pada awal 2024 bergantung pada liputan kawasan berpenduduk (CoPA) DNB yang mencapai 80 peratus menjelang akhir 2023.
Katanya, semua pengendali telco mesti mengambil pegangan ekuiti dalam Entiti A dan apabila tercapai, telco boleh berpindah ke Entiti B dan pegangan itu diambil alih oleh mereka yang tidak mendapat pegangan ekuiti dalam Entiti A, di samping kerajaan melepaskan pegangan sahamnya dalam DNB untuk entiti swasta.
"Kami menjangkakan Entiti A boleh terdiri daripada Telekom Malaysia Bhd (TM), CelcomDigi Bhd dan YTL Communication Sdn Bhd, yang adalah telco pertama bersetuju untuk melanggan pegangan ekuiti dalam DNB sebelum ini.
"Sementara itu, Entiti B terdiri daripada Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd yang sebelum ini menolak penyertaan pegangan saham dalam DNB," katanya.