Tidak perlu 5G, perkhidmatan 4G cukup untuk orang biasa

28 Mac 2022 - Utusan


PAPAR: Penyediaan perkhidmatan internet 5G memberi keutamaan kepada industri yang bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) mahupun industri yang memerlukan teknologi lebih tinggi.

Bagi orang biasa, jika ada perkhidmatan 4G sudah cukup memadai dengan kelajuan antara 30 hingga 50 Mbps bagi perkhidmatan biasa.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, penaiktarafan perkhidmatan kepada 5G akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun ini.

“Jika dilihat usaha menaik taraf perkhidmatan 3G kepada 4G juga mengambil masa lapan tahun sebelum mencapai 80 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk.
“Maka, untuk 5G ini akan bermula di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya sebelum diperluas pada Fasa 2 di kawasan tertentu di Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya selepas majlis penyampaian Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan lawatan ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Langkuas, Kinarut hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkhidmatan 4G di Sabah yang masih menjadi masalah utama sedangkan di Semenanjung sudah beralih kepada 5G.

Justeru, Annuar menggesa syarikat telekomunikasi swasta untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memberi perhatian menambah baik perkhidmatan mereka di luar bandar dan kampung terpencil terutama di Sabah.

Menurut beliau, memandangkan kerajaan tidak mengendalikan perkhidmatan telefon, syarikat telekomunikasi perlu memainkan peranan dan bukannya memberi fokus di kawasan bandar untuk meraih keuntungan semata-mata.

Mengulas lanjut katanya, melihat perkembangan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) mengikut tempoh ditetapkan, matlamat akhir untuk mencapai 100 peratus liputan internet di seluruh negara diyakini akan terlaksana.

Annuar berkata, apabila pelaksanaan Fasa 2 Jendela siap, hasrat menyediakan perkhidmatan 100 peratus capaian internet kepada kawasan berpenduduk menjelang 2025 akan dapat dijayakan.

Beliau berkata, setelah kerja-kerja membina dan menaik taraf menara telekomunikasi di bawah Jendela siap sepenuhnya, 7.5 juta daripada sembilan juta premis akan menerima purata kelajuan internet sepantas 35 Mbps.

“Setakat ini tahap pencapaian kita mengikut tempoh ditetapkan berdasarkan laporan pada suku tahun keempat Disember tahun lalu. Sekarang kita sedang mengumpulkan laporan pertama tahun ini bagi tempoh Januari hingga Mac. Tapi pelaksanaannya memang mengikut jadual,” katanya.

 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.