Utusan Malaysia - 8.5 juta rakyat peroleh manfaat Program Jaringan Prihatin bernilai RM3.5 bilion
05 Mei 2021 - Utusan Malaysia
PUTRAJAYA: Jurang rangkaian internet dan kemampuan kewangan untuk memperoleh capaian talian komunikasi terutama dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah menjadi asas kerajaan melancarkan Program Jaringan Prihatin berjumlah RM3.5 bilion.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun kos pelan jalur lebar terendah di Malaysia iaitu 1.1 peratus daripada pendapatan negara kasar per kapita bulanan sejajar dengan garis panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun ia masih tinggi bagi sebahagian kelompok masyarakat tidak berkemampuan.
Menurut beliau, kos telefon pintar juga menelan sebahagian besar pendapatan bulanan isi rumah berpendapatan rendah.
Justeru, kata beliau, program tersebut dijangka dapat memanfaatkan sekitar 8.5 juta rakyat dari kumpulan B40 untuk memiliki alat peranti telefon pintar atau menikmati bantuan pelan jalur lebar internet.
“Daripada jumlah keseluruhan RM3.5 bilion ini, kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM2 bilion manakala syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan pula akan memberi sumbangan tambahan berjumlah RM1.5 bilion, terutamanya dalam bentuk data percuma,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jaringan Prihatin itu, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, untuk menangani cabaran jurang digital antaranya mereka yang tinggal di pedalaman, warga emas atau mempunyai literasi digital rendah, rangka kerja ke arah itu perlu melibatkan kerjasama utuh antara sektor awam dan swasta.
Kata beliau, tindakan itu perlu difokuskan kepada tiga strategi utama iaitu akses, kemampuan kewangan atau kemahiran.
Muhyiddin berkata, kerajaan sedar aspek liputan, penembusan dan kelajuan rangkaian, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki terutama di sesetengah kawasan luar bandar berkepadatan rendah.
Oleh itu, katanya, kerajaan sudah memperuntukkan penaiktarafan perkhidmatan jalur lebar seluruh negara melalui pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang merangkumi rancangan gentian optik serta meningkatkan liputan 4G berkualiti bernilai RM21 bilion menjelang 2022.
“Kita juga akan mempercepatkan penyediaan infrastruktur 5G dengan pelaburan swasta melalui usaha Digital Nasional Berhad yang dianggar bernilai RM15 bilion. Insyaallah usaha-usaha ini akan membantu mengurangkan jurang liputan dan kelajuan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kekurangan kemahiran digital juga menjadi penghalang kepada usaha peningkatan pendigitalan dalam kalangan masyarakat yang mana menurut tinjauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pada masa ini hanya 50 peratus rakyat mempunyai kemahiran digital standard, sementara hanya 25 peratus memiliki kemahiran digital lanjutan.
Bagi menangani isu kemahiran ini khususnya bagi pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerima pakai pendigitalan, beliau berkata, kerajaan menyalurkan pelbagai insentif dalam Belanjawan 2021 seperti Geran Digitalisasi PKS berjumlah RM150 juta, Dana Transformasi Digitalisasi Industri berjumlah RM1 bilion dan Fasiliti Teknologi Tinggi berjumlah RM1 bilion.
Beliau memberitahu, SKMM membina 910 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara yang merupakan balai raya digital untuk membimbing komuniti melengkapkan diri dengan kemahiran digital seperti perniagaan dalam talian, e-dagang.
“Untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat, terdapat keperluan memastikan bahawa setiap orang mempunyai akses dengan kos berpatutan serta kemahiran diperlukan untuk memanfaatkan internet menjelang 2030.
“Dalam usaha kita menangani krisis pandemik sekali gus meletakkan batu asas ekonomi Malaysia ke arah lebih inklusif, mahu tidak mahu, jurang digital antara rakyat wajib dirapatkan. Meskipun keterangkuman digital bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian kepada ketidaksamaan, ia merupakan komponen asas bagi membolehkan inklusiviti sosial dalam kalangan rakyat tercapai,” katanya.