WTISD bantu warga emas harungi penuaan lebih sihat
17 Mei 2022 - Berita Harian
SELURUH dunia menyambut Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) pada setiap 17 Mei.
Seiring tema sambutan iaitu "Digital technologies for older persons and healthy ageing", peranan teknologi dan informasi komunikasi adalah signifikan dalam membantu warga emas mengharungi penuaan yang lebih sihat dan bermakna.
Ini kerana, kebanyakan urusan seperti membayar bil, tempahan makanan melaui platform e-hailing, e-dagang dan penggunaan perkhidmatan agensi-agensi Kerajaan kini telah menjadi begitu mudah dengan adanya pengaruh teknologi.
Oleh itu, adalah penting untuk setiap golongan masyarakat termasuk golongan rentan seperti warga emas dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran serta diberikan kemudahan yang sesuai agar mereka ini tidak tersisih daripada arus perkembangan teknologi.
Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited dalam melaksanakan teras pendigitalan yang digariskan di bawah pelan tindakan ekonomi digital dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memperkasakan rakyat supaya celik digital, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, pendidikan teknologi kewangan, penjagaan kesihatan dan banyak lagi.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata tema sambutan tahun ini menekankan kepada kesejahteraan hidup warga emas dengan memanfaatkan teknologi dan informasi komunikasi dalam menghadapi hari tua.
Ia adalah sejajar dengan usaha Kerajaan untuk memperkasakan adaptasi digital di negara ini, terutamanya dalam kalangan warga emas.
Usaha-usaha ini boleh dilihat melalui pelaksanaan pelbagai program kesedaran dan tutorial bagi menggalakkan penggunaan internet yang positif, produktif dan beretika.
"Sepanjang 10 tahun yang lalu, Kerajaan secara kolektif sudah membelanjakan RM50 juta untuk membangunkan komuniti digital yang celik termasuk warga emas.
"Bagi tahun 2022 sahaja sebanyak RM6 juta diperuntukkan untuk tujuan yang sama. Ini adalah peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding peruntukan tahun sebelumnya," katanya.
Beliau berkata, jumlah ini akan digunakan untuk melatih masyarakat setempat termasuk golongan warga emas melalui program Klik Dengan Bijak, Malaysian ICT Volunteers, siri latihan di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dan program literasi digital Cybersecurity Malaysia di seluruh negara.
"Selain itu, pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), PEDi dan Mercu Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (MEDi), kesemuanya pelan bersifat jangka panjang yang diwujudkan untuk melahirkan sebuah masyarakat yang berdaya saing, kreatif dan terhubung," katanya.
JENDELA adalah tonggak utama kepada penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi di negara ini yang dijangka mampu meletakkan negara sebagai peneraju ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) selaras dengan perkembangan negara-negara serantau.
Di bawah JENDELA, Kerajaan komited untuk meningkatkan ketersambungan digital dan mencapai 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, serta pemasangan rangkaian gentian optik di sembilan juta premis secara berperingkat dengan kelajuan 100Mbps bagi memberikan perkhidmatan Internet yang lebih baik menjelang tahun 2025.
Prestasi JENDELA setakat suku pertama tahun 2022 sudah mencapai liputan 4G 95.52 peratus, sejumlah 7.027 juta premis telahsudah menggunakan jalur lebar dan kelajuan internet berada pada 40.13Mbps melepasi sasaran Fasa 1 JENDELA iaitu 35Mbps.
Annuar berkata, bagi memastikan semua inisiatif ini dapat dilaksanakan secara telus dan manfaatnya dirasai rakyat, K-KOMM akan melaksanakan perkara-perkara berikut.
"Pertama, melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa melalui beberapa siri kembara di seluruh negara. Kedua, memastikan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi diaudit bagi memastikan kualitinya mencapai tahap yang dikehendaki. Ketiga, memperketatkan kawal selia industri telekomunikasi dan multimedia agar kualiti perkhidmatan serta pengalaman pengguna yang baik dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.
PEDi perkasa aktiviti ekonomi digital
Ekonomi digital adalah instrumen penting untuk negara menuju ke arah usaha pemulihan dan menjamin ketahanan masa depan ekonomi Malaysia.
Seiring dengan itu, kerajaan melancarkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) pada November tahun lalu untuk menjadi pusat sehenti bagi masyarakat luar bandar dan pedalaman untuk memperkasakan aktiviti ekonomi digital masing-masing.
Selaras dengan sasaran Kerajaan untuk mewujudkan "1 PEDi di setiap Dewan Undangan Negeri", sebanyak 910 PEDI sedang beroperasi di seluruh negara setakat Mei 2022.
Pada penghujung 2022, sejumlah 173 PEDi baharu akan mula beroperasi sekaligus menjadikan sebanyak 1,083 PEDi di seluruh negara.
Panel Penasihat PEDi, Rakan Digital PEDi dan Usahawan Ikon menjadi instrumen penting dalam menggalakkan komuniti setempat untuk membabitkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan serta menggunapakai sepenuhnya perkhidmatan yang ditawarkan di PEDi.
Setiap PEDi dilengkapi akses perkhidmatan jalur lebar dan kemudahan infrastruktur digital, malah turut menawarkan kakitangan terlatih untuk memberi perkhidmatan dan sokongan yang diperlukan oleh komuniti setempat.
Fokus utama PEDi ialah melahirkan dan memperkasa usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing. Ini membolehkan supaya semua penduduk tanpa mengira kedudukan sosial mahupun geografi berupaya menyertai serta mengambil peluang dalam ekonomi digital.
Usaha ini membabitkan pembangunan kemahiran masyarakat setempat mengenai penggunaan internet serta meningkatkan penglibatan e-dagang yang membuka peluang untuk peloporan lebih banyak aktiviti keusahawanan tanpa mengira peringkat umur.
Tambahannya pula, Kerajaan merancang untuk menubuhkan Mercu Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (MEDi), iaitu satu pusat sehenti yang akan merancakkan pemerkasaan usahawan digital Keluarga Malaysia dengan menawarkan pelbagai kemudahan teknologi digital.
Program kesedaran
Dalam usaha menyediakan kemudahan asas untuk memperkasakan pendigitalan dalam kalangan rakyat Malaysia, MCMC tidak mengabaikan aspek kesedaran terhadap pendedahan kepada internet.
Ini dilakukan melalui pelbagai program kesedaran bagi menggalakkan penggunaan internet yang positif, produktif, dan beretika di kalangan masyarakat Malaysia.
Berlandaskan prinsip Rukun Negara, inisiatif Klik Dengan Bijak™ atau KDB melatih pengguna dengan pengetahuan dan kemahiran pengunaan Internet yang selamat, berwaspada, dan bertanggungjawab supaya mereka menjadi pengguna Internet yang positif dan beretika.
Mesej utama yang disampaikan adalah kawalan kendiri. Sejak dilancarkan pada tahun 2012 sehingga 2021, KDB mencapai lebih daripada tujuh juta jangkauan audiens media sosial yang melalui pelaksanaan program di lapangan dan secara dalam talian termasuk aktiviti di meraih hampir 90,000 pengikut di platform media sosial.
Warga Emas juga boleh mengikuti program yang dianjurkan di PEDi untuk meningkatkan pengetahuan mereka berkaitan teknologi digital.
Peranan syarikat telekomunikasi
Syarikat telekomunikasi seperti Altel Communications Sdn Bhd (ALTEL), Allo Technology Sdn Bhd (Allo), Celcom Axiata Bhd (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Bhd (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), REDtone International Bhd (REDtone), Telekom Malaysia Bhd (TM), TIMEdotCom Bhd (TIME) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) turut memainkan peranan dalam mempengaruhi kehidupan setiap lapisan masyarakat rakyat Malaysia tanpa mengira faktor usia supaya menjadi lebih baik dan terhubung.
Penyedia perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia, ALTEL komited untuk menyumbang kepada masyarakat terutamanya kepada warga emas dengan mengedarkan pek SIM ALTEL secara percuma kepada komuniti B40 di pelbagai lokasi di Malaysia dan pelajar kurang berkemampuan yang terpilih, digabungkan dengan telefon bimbit yang ditaja oleh pihak berkuasa tempatan sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat.
Allo, anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), memacu perubahan bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan penduduk di luar capaian dengan memberikan kesalinghubungan internet jalur lebar berkualiti tinggi menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) anjuran Kerajaan.
Setakat ini, Allo menghubungkan lebih 180,000 kediaman di Melaka Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Allo meletakkan sasaran untuk menghubungkan 300,000 kediaman menjelang akhir tahun ini.
Celcom pula menambahbaik kehidupan warga emas melalui penyelesaian digital dari segi keselamatan dan kesihatan mereka.
Untuk tujuan itu, Celcom bersama rakan kongsi ekosistemnya sedang meneroka pelaksanaan platform digital yang mengguna pakai teknologi deria digital untuk pemantauan masa nyata yang tidak mengganggu warga emas di kediaman mereka.
Solusi bagi keselamatan dan kecemasan perubatan berkenaan bertujuan membantu rakyat Malaysia serta penjaga untuk memantau aktiviti harian dan tingkah laku warga emas, membolehkan respons yang lebih cepat dan selamat.
Digi melalui komitmen Yellow Heart pula berusaha untuk membawa kesalinghubungan kepada semua lapisan masyarakat termasuk warga emas, di samping membina kemahiran untuk masa depan digital yang selamat dan lancar dengan tawaran rebat RM10 seumur hidup bagi semua pelan pascabayarnya.
Menerusi inisiatif seperti kempen kesedaran penipuan, ia dapat membantu masyarakat mengenal pasti penipuan atau aktiviti mencurigakan dalam talian serta mampu mengelak mereka daripada menjadi mangsa kepada modus operandi yang semakin kreatif oleh penipu.
Maxis melancarkan kempen "Rangkaian Kita, Rangkaian Malaysia" pada bulan Februari yang menjadi sebahagian daripada komitmennya untuk membantu rakyat Malaysia bersalinghubung dalam setiap cara, pada setiap masa, untuk semua masyarakat.
Selama lebih dua dekad, sebagai jenama tempatan Malaysia, Maxis melabur dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk menghasilkan rangkaian komuniti yang kukuh dan konvergen, serta paling luas di negara.
Kempen ini mewakili pengukuhan yang mendalam ke arah tujuan jenama, Terus Menerajui, didorong oleh evolusi syarikat daripada penyedia telekomunikasi mudah alih menjadi pakar salinghubungan dan penyelesaian digital yang menawarkan penyelesaian untuk setiap segmen, termasuk warga emas, dikuasakan oleh rangkaian 4G dan liputan fiber terkemuka, serta inovasi 5G terbaik.
U Mobile baru-baru ini melancarkan inisiatif SIHAT, atau Sistem Integrasi KeHidupan Antara Teknologi, dengan kerjasama DoctorOnCall, platform kesihatan digital pertama dan terbesar di Malaysia, dan disokong dengan geran daripada inisiatif Qualcomm® Wireless Reach™.
Program SIHAT bertujuan memantau dan mengurus situasi diabetes dan tekanan darah tinggi bagi 100 peserta menggunakan peranti perubatan yang disambungkan tanpa wayar seperti pemantau tekanan darah dan glukometer.
Sementara itu, REDtone menjalin kerjasama dengan kerajaan melalui Universal Service Provision (USP) dan projek-projek Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Keluarga Malaysia bagi menyediakan liputan mudah alih dan internet kepada warga emas di kawasan luar bandar.
Dalam menyokong penggunaan teknologi digital, REDtone menganjurkan latihan yang bertujuan memupuk celik digital dalam kalangan warga emas.
Selain dapat mengukuhkan kebolehcapaian perkhidmatan sosial dan meningkatkan kualiti hidup mereka, ia secara tidak langsung dapat menangani masalah ketidaksamaan pada akses digital.
Semasa pandemik, TM menyaksikan peningkatan penggunaan internet sebanyak 2.95x (purata penggunaan pada November 2019 berbanding 2021) di kalangan pelanggan unifi berumur 56 tahun ke atas.
Bagi menangani peningkatan kebergantungan kepada teknologi digital oleh populasi berusia ini, adalah penting untuk mengatasi halangan-halangan berikut: akses, pemasangan, reka bentuk dan keyakinan.
Oleh itu, tahun lalu, unifi melancarkan lima inisiatif #unificares bagi membawa perubahan kepada keseluruhan pengalaman pelanggannya, memberikan sokongan proaktif dan kemudahan buat warga emas.
Biarpun tidak bersama ahli keluarga, proses mengenalpasti apa-apa masalah teknikal kini boleh dilakukan secara jarak jauh. Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan bantuan unit unifi Elite, pasukan pakar yang terlatih menerusi sesi khidmat nasihat bagi keperluan sambungan mereka sama ada di rumah atau di premis perniagaan.
YES membawakan penjagaan kesihatan pintar kepada negara melalui perkongsian baru-baru ini bersama First Ambulance Sdn Bhd, yang bertujuan untuk meningkatkan kelajuan dan ketepatan kepada penjagaan kesihatan kecemasan.
Dengan Ambulans Pintar 5G, data kesihatan pesakit seperti telemetri EKG dan imej ultrabunyi boleh dihantarkan kepada doktor jagaan kecemasan di hospital.
Ia akan meningkatkan masa rawatan dan kesediaan hospital untuk menjaga pesakit dengan pantas semasa ketibaan.