‘Jendela mampu atasi kekurangan prasarana telekomunikasi di Sabah’

26 Jun 2023 - Daily Express


KOTA KINABALU: Pembangunan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) mampu mengatasi kekurangan prasarana telekomunikasi di Sabah.

Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata Jendela merupakan usaha untuk memberi liputan lebih meluas dan pengalaman kualiti jalur lebar yang lebih baik untuk rakyat Malaysia Madani termasuklah di negeri ini. 

“Pelaksanaan Jendela di Sabah masih lagi berjalan seperti yang dirancang, setakat suku pertama tahun 2023, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk negeri ini meningkat kepada 90.45 peratus berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan Jendela.

“Setakat ini sebanyak 169 buah menara telah pun siap dibina daripada 616 jumlah menara yang dirancang untuk disiapkan menjelang suku kedua akan datang dan bagi mempertingkatkan kelajuan purata jalur lebar mudah alih, sebanyak 4,158 daripada 4,186 stesen pemancar telah pun dinaik taraf kepada 4G manakala perkhidmatan jalur lebar satelit, kesemua 138 lokasi telah siap sepenuhnya dan telah beroperasi di seluruh negeri.

“Semua itu sebagai langkah siap siaga negara untuk beralih kepada teknologi 5G.
“Di Sabah khususnya di kawasan berpenduduk, teknologi 5G berada pada tahap 34.7 peratus dengan 246 tapak telah beroperasi yang mana sasaran Digital Nasional Bhd (DNB) adalah membangunkan sebanyak 624 tapak menjelang hujung tahun ini,” katanya semasa Program Temubual Bicara di Konti SabahFM, Sabtu lepas.

Dalam temubual itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan penipuan (scammer) yang sering terjadi ketika ini. 

“Aktiviti scammer ketika ini berlaku melalui pelbagai cara menyebabkan ramai anggota masyarakat yang terpedaya hingga kehilangan wang tunai.

“Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam usaha membendung jenayah penipuan bagi membantu rakyat di luar sana agar tidak terpedaya dengan taktik licik scammer antaranya membuat jalinan kerjasama dengan pihak penyedia platform media sosial, menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi Isu Penipuan Telekomunikasi dengan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), PDRM dan syarikat-syarikat telekomunikasi. 

“Selain itu, kita turut melaksanakan program-program kesedaran secara berterusan melalui pelbagai platform termasuk portal Sebenarnya.my,  Klik dengan Bijak (KDB) termasuk membuat hebahan melalui SMS, media sosial, siaran TV dan Radio.

“Pusat Respons Scam Kebangsaan (N-S-R-C) diwujudkan bertujuan memberi khidmat nasihat bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan melalui talian hotline 997 sedia melayan pertanyaan atau berkongsi sebarang aktiviti dalam taian yang meragukan agar masyarakat tidak akan terpedaya dengan sebarang penipuan dalam talian juga media sosial,” katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.