Berita Harian - edotco sasar tambah menara telekomunikasi

09 Jul 2021 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Edotco Group (edotco) yang mengendalikan dan menguruskan 34,100 portfolio menara telekomunikasi di peringkat serantau menyasarkan untuk menggandakan jumlah itu menjelang 2024, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adlan Tajudin.

Syarikat itu juga merancang untuk memasuki sekurang-kurangnya tiga pasaran baharu, menggunakan portfolio produknya untuk gentian fiber dan infrastruktur telekomunikasi sel kecil serta membentuk semula organisasinya untuk menjadi analitik dan dipacu oleh data dalam tempoh dua tahun akan datang, katanya.

Ketika ini, edotco mempunyai operasi di Bangladesh, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Pakistan, Filipina dan Sri Lanka dan berada di kedudukan ke-10 teratas dalam syarikat menara telekomunikasi di peringkat global.

"Menerusi perancangan dan inisiatif lain untuk menggandakan portfolio kami menjelang 2024, saya yakin ini akan mendorong ke arah hasrat kami untuk menjadi syarikat menara telekomunikasi lima teratas di peringkat global," kata Adlan dalam satu kenyataan.

edotco baru-baru ini memenangi anugerah Frost & Sullivan 'Asia Pacific Telecoms Tower Company of the Year' untuk tahun 2021.

Ini adalah tahun kelima berturut-turut syarikat menara itu merangkul anugerah berkenaan.

Adlan berkata, edotco membawa teknologi generasi terbaharu, inovasi berterusan dan amalan terbaik untuk memastikan komitmen pembangunan negara terutama dalam tempoh pandemik COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelumnya.

"Kebiasaan baharu ini memaksa kami menerapkan cara kerja baharu dan mereka menunjukkan ketangkasan serta tekad untuk memastikan syarikat terus menggunakan infrastruktur dikongsi yang tepat dan mencapai matlamat digital nasional," katanya.

Syarikat itu juga dilantik sebagai rakan teknologi oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk melengkapkan pencakar langit tertinggi di Malaysia dengan penyelesaian telekomunikasi generasi akan datang.

Syarikat menara telekomunikasi itu juga berkata, ia komited untuk mengurangi jejak karbonnya sebanyak 70 peratus dan sedang merangka hala tuju berkaitan karbon bagi menyokong pelan tindakan iklim oleh Axiata Group Bhd yang memiliki 63 peratus saham edotco.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.