CGS-CIMB kekal pandangan 'underwight' terhadap sektor telekomunikasi

01 Apr 2022 - Dagang News


KUALA LUMPUR - CGS-CIMB Research mengekalkan pandangan 'underweight' terhadap sektor telekomunikasi memandangkan belum ada kata putus dicapai mengenai tawaran pegangan 70% dalam Digital Nasional Berhad kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO).

Pada 24 Mac lalu, 4 MNO iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Maxis Bhd. dan U Mobile Sdn Bhd bersedia berbincang lebih lanjut dengan kerajaan terhadap tawaran tunggal (SWN) bagi pelancaran 5G. 

Malah mereka juga sedia bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, serta berharap agar kaedah konvensional dimanfaatkan dalam proses penggabungan dan pengambilalihan berkenaan. 

"Sehubungan itu, sementara menantikan hasil daripada rundingan ini, kami mengekalkan pandangan 'underweight' buat masa ini. 

"Risiko peningkatan bergantung kepada sama ada MNO mengambil pegangan ekuiti dalam DNB pada penilaian yang adil dan mampu mengurangkan jumlah kos pelancaran 5G dan mengurangkan yuran borong 5G,"katanya  dalam nota kajian hari ini. 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengadakan taklimat untuk berkongsi rangka kerja kawal selia bagi SWN 5G, untuk memastikan kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan ditangani dengan sebaiknya. 

Menurut CGS-CIMB, SKMM memaklumkan bahawa 17 isu yang dibangkitkan sejak permulaan perbincangan antara MNO dan DNB sudah diselesaikan pada Mac 2022. 

Malah, katanya, Tawaran Akses Rujukan (RAO) yang mengandungi 10 parameter dipersetujui bersama antara DNB dan MNO telah diluluskan SKMM dan dijangka diterbitkan DNB hari ini. 

"Selepas itu, rundingan mengenai syarat perjanjian akses antara DNB dan pencari akses berpotensi yang skopnya akan berada dalam parameter RAO, akan diadakan mulai April hingga Julai 2022," tambahnya. 

Hasil taklimat itu juga, firma berkenaan memberitahu, bayaran borong 5G DNB akan dikawal selia dibawah Standard Mandatori bagi Harga Capaian (MSAP), yang akan disemak setiap 3 tahun. 

Jelasnya, syarikat telekomunikasi tidak diberi mandat untuk menandatangani perjanjian borong 5G dengan DNB. 

"Pengawal selia tidak akan mengkuatkuasakan mandatori untuk menandatangani perjanjian akses borong 5G antara DNB dan syarikat telekomunikasi. Tetapi, apabila kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan model SWN dan MNO diberi tawaran ekuiti dalam DNB sehingga akhir Jun 2022, SKMM percaya, industri kini mungkin boleh bergerak  ke hadapan dengan 5G," jelasnya. 

Pada Mac lalu, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkain 5G secara SWN, dengan membuka ruang untuk syarikat-syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam DNB. 

Ia menyaksikan kerajaan menawarkan sehingga 70% daripada ekuiti DNB kepada MNO yang komited kepada Perjanjian Akses untuk perkhidmatan borong manakala kerajaan memegang 30% ekuiti. 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.