Dwirangkaian 5G perkukuh kualiti telekomunikasi negara

19 Mei 2023 - Utusan


PUTRAJAYA: Kerajaan melaksanakan pendekatan dwirangkaian bagi perkhidmatan 5G sebagai usaha mewujudkan persaingan sekali gus memacu kualiti perkhidmatan telekomunikasi negara.
 

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pembangunan rangkaian 5G wajar diterajui semula oleh pihak penyedia perkhidmatan apabila pencapaian liputan 5G di bawah Digital Nasional Berhad (DNB) mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.

Beliau menjelaskan, kedua-dua rangkaian akan dimiliki dan diurus tadbir oleh dua entiti (Entiti A dan Entiti B) yang diterajui oleh pihak penyedia perkhidmatan.

“Rangkaian 5G DNB sedia ada akan kekal digunakan dan menjadi satu daripada dua rangkaian 5G negara.

“Persaingan yang sihat antara dua rangkaian 5G ini akan membuka peluang kepada liputan yang lebih menyeluruh sekali gus menambah baik kualiti perkhidmatan telekomunikasi,” katanya dalam temubual khas di pejabat beliau di sini baru-baru ini.

Kerajaan pada 3 Mei lalu bersetuju supaya pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia diteruskan melalui DNB sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.

Pada masa yang sama peralihan kepada model dwirangkaian akan dilaksanakan berpandukan syarat-syarat yang selari dengan amalan di peringkat global.

Langkah itu bukan sahaja mampu menawarkan kepelbagaian rangkaian untuk rakyat, malah untuk sektor perindustrian yang merupakan antara kumpulan sasar penggunaan teknologi 5G dengan anjakan fokus kepada elemen penerimagunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G secara komprehensif.

Model itu turut mengambil kira kemapanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB. Fahmi berkata, peralihan itu dapat memanifestasikan keterangkuman melalui penyertaan penuh pihak penyedia perkhidmatan tanpa menjejaskan langganan 5G sedia ada pada kadar yang berpatutan untuk rakyat.

Katanya, kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan DNB serta pihak penyedia perkhidmatan bagi memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat dan keyakinan pelabur.

Fahmi berkata, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital akan memperhalusi proses dan kriteria pelantikan pelaksana rangkaian bagi memastikan usaha peralihan kepada model dwirangkaian berjalan lancar.

Katanya, pembangunan rangkaian kedua dijangka bermula seawal tahun depan dan akan beroperasi secara berperingkat dan mencapai liputan setara dengan rangkaian pertama iaitu 80 peratus liputan dalam masa lebih kurang dua tahun.

Peralihan kepada dwirangkaian akan memberikan persaingan sihat, meningkatkan penerimagunaan dan memperkukuh daya saing infrastruktur digital negara. Menurut beliau, tujuan penubuhan DNB adalah untuk mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G negara dan setakat ini, DNB berjaya membangunkan rangkaian 5G dengan liputan melebihi 50 peratus di kawasan berpenduduk dalam tempoh kurang dua tahun.

“Rangkaian 5G DNB sedia ada akan kekal beroperasi dan terus diperluaskan sebagai salah satu daripada dua rangkaian 5G negara.

“Pada masa sama, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan keputusan untuk membuka 70 peratus pegangan ekuiti dalam DNB kepada pihak penyedia perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu Fahmi memberitahu, kos pelaksanaan rangkaian 5G oleh DNB masih kekal buat masa ini yang sebelum ini dianggarkan berjumlah RM16.5 bilion.

Kerajaan percaya kos pelaksanaan dapat dioptimumkan hasil penyertaan ekuiti oleh pihak penyedia perkhidmatan. Bagaimanapun, kos pelaksanaan rangkaian kedua masih terlalu awal untuk dianggarkan. Namun, KKD telah menetapkan agar kos pelaksanaan ini, tidak akan menjejaskan caj dan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.

“Perubahan kepada pelaksanaan dwirangkaian diyakini tiada impak negatif kepada pengguna 5G sedia ada.

“Malah, pengguna akan menikmati perkhidmatan 5G sedia ada yang dilanggan daripada pihak penyedia perkhidmatan masing-masing,” katanya.

Rangkaian kedua juga akan mengguna pakai pendekatan berasaskan penawaran (supply driven) sebagaimana pembangunan 5G oleh DNB dan penggunaan spektrum frekuensi juga adalah sama iaitu 700MHz, 3.5GHz dan 26/28GHz.

Sementara itu, Fahmi berkata, antara kelebihan kepada pengguna dengan pelaksanaan dwirangkaian ini adalah memberi lebih opsyen kepada pengguna untuk memilih penyedia perkhidmatan terbaik. Ini termasuk isu redundancy dari aspek keselamatan, sekiranya ada satu keadaan yang memaksa satu rangkaian ditutup atau tertutup, maka akan ada satu lagi rangkaian kedua yang boleh dimanfaatkan pengguna.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.