Harian Metro - KKMM pastikan Malaysia capai negara ekonomi digital
08 Mac 2021 - Harian Metro
Putrajaya: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) komited untuk terus melaksanakan inisiatif di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi memantapkan kualiti perkhidmatan komunikasi terutamanya era pasca Covid-19 tahun ini selain menggerakkan ekonomi digital.
Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sasaran yang ditetapkan tahun ini adalah menyediakan sambungan talian tetap untuk 7.5 juta premis, meluaskan liputan 4G ke 96.9 peratus kawasan berpenduduk, meningkatkan kelajuan purata jalur lebar mudah alih kepada 35 megabit sesaat (Mbps) dan mengalihkan semua spektrum 3G kepada 4G.
"Kami berharap dapat menutup perkhidmatan 3G pada penghujung tahun ini. Jadi setiap orang menggunakan 4G sebagai persediaan yang lebih baik untuk 5G yang lebih pantas dan stabil," katanya dalam sidang media khas sempena Setahun Malaysia Prihatin di sini, tadi.
Menurutnya, masyarakat umum sebenarnya tidak memerlukan 5G kerana unjuran KKMM menunjukkan 70 peratus penggunaannya adalah oleh pihak industri manakala 30 peratus oleh orang awam.
Namun menyedari kepentingan 5G untuk perkhidmatan komunikasi lebih pantas, kerajaan telah mempercepatkan pelaksanaannya setahun lebih awal.
"Pelaksanaan 5G dipercepatkan setahun awal seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Februari lalu kerana perkhidmatan itu akan memacu pembangunan ekonomi digital Malaysia ke arah aspirasi MyDigital menjelang tahun 2030.
"Pelan Jendela bernilai RM21 bilion dilancarkan Ogos tahun lalu bertujuan memberi liputan yang lebih meluas dan pengalaman kualiti jalur lebar yang lebih baik untuk rakyat sebagai langkah siap siaga negara untuk beralih kepada teknologi 5G," katanya.
Ia adalah sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang akan dilaksanakan dalam dua fasa.
Fasa pertama bermula 2020 sehingga 2022 menyasarkan liputan jalur lebar mudah alih 4G diluaskan daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk, mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps, serta membolehkan sebanyak 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.
Dalam fasa kedua pula akan menyaksikan peralihan kepada 5G menyusul selepas platform yang kukuh di dalam fasa pertama dicapai selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia ke-12.
Fokus KKMM itu dilihat selari dengan amanat perdana Muhyiddin sempena genap setahun beliau memimpin Kerajaan Malaysia yang menyentuh pemerkasaan ekonomi digital sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan yang menyasarkan ekonomi digital menyumbang 22.6 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2025.
Bagi memastikan pelaksanaan yang efisien dan telus, Saifuddin berkata Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang ditubuhkan November tahun lalu berperanan melaksana dan memantau strategi dan inisiatif ekonomi digital dan 4IR di negara ini sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Terdapat enam kluster dikenal pasti untuk menggerakkan agenda ekonomi digital dan 4IR dengan kluster infrastruktur digital dan data yang dipengerusikan Saifuddin akan meneliti inisiatif berkaitan infrastruktur digital dan data serta rangka kerja Identiti Digital Nasional.
Mengenai perancangan kerajaan terdahulu yang masih diteruskan, Saifuddin berkata KKMM mempunyai Pelan Strategik 2019-2023 ketika beliau mula menjalankan tugas pada tahun lepas dan hanya beberapa perubahan kecil dibuat untuk penambahbaikan.
"Pelan strategik 2019-2023 masih diteruskan. Bagaimanapun kita kaji semula pada pertengahan tahun lepas semata-mata kerana Covid-19 dan tiada kaitan dengan pentadbiran baharu.
"Akhir tahun ini KKMM ada pemukiman dan akan kemas kinikan kerana Covid-19 mengubah banyak perkara. Akan ada pelarasan tetapi pelarasan kecil apabila Rancangan Malaysia Ke-12 diumumkan nanti," katanya.