Jangan lupa rakyat juga perlu 4G

13 Apr 2023 - Utusan


SELARAS konsep Malaysia Madani, banyak dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi memastikan rakyat mendapat akses internet dan telekomunikasi yang baik.

Antara langkah itu adalah pengurangan harga internet prabayar mudah alih dan memperluaskan perkhidmatan internet jalur lebar.

Pelaksanaan rangkaian telekomunikasi generasi kelima (5G) juga dijangka mencapai sasaran 80 peratus tidak lama lagi.

Syarikat yang bertanggungjawab memacu pembangunan infrastruktur 5G di negara ini ialah Digital Nasional Berhad (DNB) yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Penyediaan perkhidmatan internet 5G amat diperlukan oleh industri yang bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) dan sektor lain yang memerlukan teknologi lebih tinggi.

Bagi orang awam, jika ada perkhidmatan 4G sudah cukup memadai dengan kelajuan antara 30 hingga 50 Mbps (megabit sesaat) bagi perkhidmatan biasa.

Oleh itu, kerajaan perlu meningkatkan liputan 4G kepada golongan tiga peratus terakhir, iaitu penduduk di kawasan kampung dan tempat terpencil yang masih tidak mendapat akses kepada kemudahan itu.

Masalah seperti ini memang dihadapi oleh semua negara kerana wujud kesukaran untuk menyediakan liputan internet di kawasan terpencil yang hanya dihuni Orang Asli atau kawasan berbukit yang ada penduduk tetapi syarikat telekomunikasi menghadapi kesukaran untuk memasang menara pemancar.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh kerajaan sebelum ini mencatatkan sejumlah 7.44 juta premis atau 95.82 peratus mempunyai sambungan gentian optik dengan liputan 4G setakat suku ketiga 2022.

Liputan itu dijangka meningkat dengan adanya Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), iaitu pelan induk untuk ketersambungan yang sudah pun menamatkan fasa satu (2020-2022) dan sedang bergerak untuk melaksanakan agenda fasa dua dari 2023 hingga 2025. 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.