Kerajaan pastikan khidmat syarikat penyedia rangkaian kedua 5G terbaik - PM

23 Mei 2023 - Astro Awani


KUALA LUMPUR: Rangkaian, keselesaaan pengguna dan kos bayaran antara isu yang akan terus dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam memastikan operasi telekomunikasi terutama 5G berjalan lancar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu sebarang pelanggaran syarat oleh syarikat telekomunikasi yang akan menjadi penyedia rangkaian kedua perkhidmatan 5G melalui Digital Nasional Bhd (DNB) akan menyebabkan perjanjian terbatal.

"Pengalaman kita puluhan tahun dengan syarikat telekomunikasi tidak sangat memberangsangkan. Pertamanya, isu ketersambungan dan keselesaan kepada pengguna, dan keduanya, soal kos serta bayaran (dikenakan) kepada pengguna.

"Sebab itu, dalam peraturan dan syarat ketat yang dikawal kementerian khususnya SKMM, hal ini diambil perhatian. Maknanya perjalanan 80 peratus yang awal dikendali dan dibiayai kerajaan itu akan ditanggung bersama oleh DNB dan syarikat telekomunikasi,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mengenai langkah kerajaan memastikan perkhidmatan 5G di negara ini agar mencapai tahap optimum.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui satu entiti baharu yang akan diwujudkan pada awal 2024 serta menukar model pelaksanaan 5G ketika ini daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.