Malaysia umum berpindah ke sistem dwirangkaian 5G selepas cakupan DNB capai 80%

05 Apr 2023 - Soya Cincau


Kerajaan Malaysia telah mengumumkan perancangan mereka terhadap monopoli 5G oleh DNB. Mereka memaklumkan akan memulakan proses perpindahan daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian (DWN). Sebanyak dua fasa diumumkan untuk memperlengkap perpindahan tersebut.

Fasa pertama akan menyaksikan DIgital Nasional Berhad (DNB) akan kekal beroperasi dalam penyediaan perkhidmatan 5G sehingga mencapai 80% liputan kawasan berpenduduk sehingga akhir tahun 2023. Setakat Mac 2023, cakupan rangkaian 5G DNB di Malaysia telah mencapai 54.7%.

Dalam tempoh tersebut, fokus akan diberikan kepada mencapai liputan menyeluruh untuk manfaat rakyat. Seawal tahun 2024, barulah rangkaian kedua akan diwujudkan dan fokus akand ditukarkan kepada inovasi dan penerimagunaan.

Maka dengan ini bermulalah proses penghapusan monopoli DNB dan dalam pada masa yang sama, gerbang peluang telah terbuka untuk lebih ramai pemain dalam industri untuk menyertai kancah pembangunan 5G di Malaysia. Menurut Menteri Komunikasi & Digital, YB Fahmi Fadzil, model dwirangkaian diwujudkan untuk membasmi kemungkinan titik tunggal dengan cara mewujudkan rangkaian sandaran. Walau bagaimanapun, perincian tentang rangkaian baharu akan diumumkan di suatu masa nanti.

Dalam tahun 2022, Celcom, Digi, Telekom Malaysia, dan YTL Communications telah menandatangani perjanjian untuk memgambil pegangan ekuiti dalam DNB. Daripada 6 telco utama negara, hanya Maxis sahaja yang masih belum menyertai rangkaian DNB.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.