Maxis fokus kepada kecekapan kos bagi mengoptimumkan model aspirasi - AmInvestment Research
05 Mei 2022 - Dagang News
KUALA LUMPUR - 5 MEI - AmInvestment Research menjangkakan Maxis Berhad terus memberi fokus kepada perubahan struktur dan kecekapan kos dalam meningkatkan produktiviti dengan menggabungkan inisiatif silang fungsi utama bagi mengoptimumkan model operasinya.
Firma itu berkata, inisiatif itu mungkin melibatkan kerjasama cloud, penyelesaian digital untuk e-dagang, analitik dan pembayaran untuk korporat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Sebelum ini, kumpulan itu berjaya melengkapkan pengambilalihan MyKris Asia pada Januari 2022 untuk menyediakan pengurusan dan perlindungan lengkap ICT, meningkatkan keupayaan PKS dengan menyatupadukan sistem rangkaian serta kemampuan rangkaian hibrid untuk perniagaan.
"Walaupun berada dalam pasaran telekomunikasi yang sengit namun prospek masa hadapan dijangka positif,"katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, strategi kumpulan itu adalah untuk menyediakan penyelesaian kepada 400,000 premis merangkumi perumahan, perniagaan serta sekolah dalam tempoh 12 hingga 18 bulan dan ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Pengembangan dalam kawasan perumahan adalah termaktub di bawah segem gentian optik dengan kumpulan itu bekerjasama dengan pemaju hartanah untuk mewujudkan rangkaian di kawasan perbandaran baharu seperti Gamuda Cove dan Taman Bertam Heights.
"Kumpulan itu juga dianugerahkan tender Fasa 1 oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia melibatkan pemasangan gentian di 127 sekolah dan 27,000 premis di kawasan sekeliling wilayah selatan Malaysia.Maxis juga menjangkakan tender Fasa 2 yang lebih besar akan dibuka tidak lama lagi,"katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) yang tidak berubah RM4.34.