Maxis mungkin dapat sediakan 5G, tidak lama lagi selepas perjanjian akses 5G bersama DNB diselesaikan

07 Jun 2023 - Soya Cincau


Pasukan Petugas Khas 5G, yang ditubuhkan untuk memastikan peralihan lancar kepada model dwirangkaian 5G, telah mengumumkan akan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu berkaitan perjanjian akses 5G bersama Digital Nasional Berhad (DNB) serta penyertaan ekuiti mereka dalam entiti berkenaan.

Pengerusi Bersama Pasukan Petugas berkenaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dalam kenyataan mereka berkata, kedua-dua isu utama tersebut akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam kumpulan kerja yang ditubuhkan dan dijangka dapat dimuktamadkan seawal penghujung bulan ini.

Dalam laporan Bernama, mesyuarat kedua Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia pada Khamis lepas bersetuju dengan struktur pasukan petugas yang merangkumi lima kumpulan kerja terdiri daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, DNB dan pihak penyedia perkhidmatan.

Satu perkara menarik dalam kenyataan ini, pengerusi bersama ini menyatakan bahawa keputusan segera bagi perjanjian akses 5G antara pihak penyedia perkhidmatan bersama DNB akan membolehkan pihak penyedia perkhidmatan utama termasuk Maxis menawarkan pakej-pakej perkhidmatan 5G kepada pengguna.

Sejurus selepas kerajaan mengumumkan untuk beralih daripada model rangkaian tunggal kepada dwirangkaian, dua syarikat iaitu CelcomDigi dan Telekom Malaysia mengumumkan penamatan perjanjian pengambilalihan pegangan dengan DNB. Tetapi, DNB telah ditugaskan untuk meneruskan pembangunan 5G sehingga ia mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk sebelum rangkaian kedua 5G dibenarkan beroperasi.

Dengan tamatnya perjanjian ekuiti, soalan yang timbul adalah tentang kelangsungan hidup DNB dan perkembangannya kelak kerana ia dijalankan menerusi model pemulihan kos. Dengan penggunaan 5G yang masih rendah pada kadar 3.1% sahaja, ia turut menimbulkan persoalan tentang kemampuan kewangan DNB untuk mempercepat pembangunan 5G, jika syarikat telekomunikasi (telco) tidak meningkatkan penggunaan kapasiti borong 5G setiap bulan akibat permintaan yang rendah.

Buat masa ini, hanya lama telco iaitu Celcom, Digi, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL Communications telah menawarkan perkhidmatan 5G kepada pengguna selepas menandatangani perjanjian akses 5G bersama DNB pada Oktober 2022 selepas berbulan-bulan bertangguh. Sebelum itu, empat telco utama telah mengeluarkan kenyataan bersama tentang perjanjian akses 5G yang tidak memberikan nilai terbaik dan perkhidmatan 5G berkualiti. Dimaklumkan, telco perlu membayar DNB sehingga RM30,000 setiap Gbps bagi akses borong 5G dan diikat kontrak selama 10 tahun.

Dengan perkembangan terkini, Tawaran Akses Rujukan (RAO) DNB perlu dikaji semula jika kerajaan mahu dua rangkaian 5G berbeza dimulakan seawal tahun hadapan. Mengikat perjanjian selama 10 tahun antara telco dan DNB menyekat perancangan untuk beralih ke model dwirangkaian. Jika objektif menswastakan DNB adalah untuk telco memiliki pegangan dan suara, proses usaha wajar yang betul perlu dibuat sebagai sebahagian proses penggabungan dan pengambilalihan.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.