Memperkasakan masyarakat melalui teknologi maklumat

17 Mei 2023 - Berita Harian


Kepentingan teknologi digital menjadi keutamaan kerana peranannya yang telah mengubah hampir setiap aspek kehidupan serba moden masa kini.

Teknologi digital merevolusi dunia dan mengubah cara kita berkomunikasi, menjalankan perniagaan, dan mengakses maklumat.

Bersempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2023, Malaysia memilih tema 'Memperkasakan Masyarakat melalui Teknologi Maklumat dan Digital' bagi meraikan kuasa dan pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi dalam masyarakat kita.

WTISD disambut setiap tahun pada 17 Mei, memperingati ulang tahun pengasasan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan penandatanganan Konvensyen Telegraf pertama di Paris dalam 1865. Sambutan ini disambut sejak tahun 1969.

Komitmen Malaysia dalam pendigitalan adalah jelas melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dalam mempromosikan pertumbuhan ekonomi digital dan memperkasa masyarakat melalui pendigitalan.

Selain itu, kejayaan Malaysia meraih kerusi Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) untuk penggal 2023-2026, bukti keazaman untuk memastikan pembangunan pesat telekomunikasi dan ICT untuk negara.

Ekonomi digital Malaysia dijangka menyumbang 25.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan setengah juta pekerjaan menjelang 2025.

Dalam usaha mencapai strategi ekonomi digital Malaysia, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) memainkan peranan penting dalam memastikan semua rakyat Malaysia mempunyai akses kepada Internet berkelajuan tinggi.

Sehingga 31 Disember 2022, JENDELA yang dilancarkan pada September 2020 telah mencapai liputan sambungan sebanyak 96.92 peratus. Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan liputan Internet di kawasan berpenduduk dan menyasarkan liputan 100% menjelang akhir 2025.

Bagi memastikan semua rakyat Malaysia dapat memanfaatkan peluang yang disediakan melalui ekonomi digital, kita menggesa semua pihak berkepentingan untuk mempercepat usaha mereka dalam memastikan kesalinghubungan baki tiga peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara yang masih tidak mempunyai capaian Internet.

Ini penting bagi memastikan inklusiviti iaitu memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam transformasi digital Malaysia.

Di bawah Inisiatif 5G yang sedang berjalan dan menyasarkan 80 peratus liputan Internet di kawasan berpenduduk menjelang akhir 2023, kerajaan Malaysia akan terus berusaha memastikan perkhidmatan telekomunikasi disediakan berkualiti tinggi dan pada harga berpatutan.

Ini untuk memastikan, tiada sesiapa terkecuali daripada akses kepada perkhidmatan telekomunikasi dan Internet, yang menjadi keperluan asas dalam dunia kini yang terhubung.

Kerajaan komited dalam memastikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi atau geografi, mempunyai akses kepada teknologi digital.

Inisiatif seperti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bertujuan untuk memperkasa masyarakat dan kawasan yang kurang mendapat liputan jalur lebar, kemahiran digital, dan pengetahuan perniagaan dalam talian.

Pada Disember 2022, terdapat 911 PEDi boleh diakses oleh masyarakat di seluruh negara, dengan lebih daripada 25,980 usahawan PEDi yang telah berjaya menyertai latihan dan bengkel yang disediakan.

1 DUN 1 PEDi

Sasaran kita kini adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya satu PEDi akan diwujudkan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (1 DUN 1 PEDi).

Kita akan terus memberi penekanan dalam memberi masyarakat akses kepada teknologi digital dan kemahiran yang diperlukan untuk menggunakannya dengan baik, serta mempercepat pembangunan sosial dan ekonomi.

Ini termasuk meningkatkan pendidikan, penjagaan kesihatan, dan peluang ekonomi, kesemuanya mampu memberi impak yang signifikan kepada kehidupan masyarakat.

Dengan baki tiga peratus lagi untuk mencapai kesalinghubungan, kita mengakui cabaran dalam memberi liputan di kawasan luar bandar dan terpencil.

Untuk mengatasi isu ini, kita telah melaksanakan penyelesaian teknologi inovatif. Salah satu penyelesaiannya adalah menyediakan kemudahan akses Internet Jalur Lebar Tanpa Wayar (BWA) melalui satelit yang telah dilaksanakan di 839 lokasi di Sarawak dan Sabah, serta perkampungan Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Perkhidmatan BWA melalui satelit berfungsi sebagai langkah sementara untuk segera menangani cabaran kesalinghubungan di kawasan terpencil dengan fizikal geografi yang mencabar.

Dengan visi transformasi digital dan teknologi telekomunikasi yang semakin maju, masyarakat akan mempunyai akses lebih baik dari segi platform digital dan penyelesaian yang mampu membantu meningkatkan produktiviti pekerja serta membolehkan perusahaan dan perniagaan di seluruh negara untuk lebih berinovasi.

Kesalinghubungan digital akan berfungsi sebagai tulang belakang untuk menyokong pelbagai kes kegunaan perniagaan (business use cases), termasuk yang memerlukan teknologi generasi masa hadapan (next generation technology).

Keutamaan diberikan dalam memastikan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia bersedia untuk menyediakan kesalinghubungan yang lancar kepada semua rakyat Malaysia sebagai persediaan untuk menghadapi masa hadapan yang mendatang.

Sambutan WTISD adalah penting bagi semua rakan teknologi dan industri telekomunikasi, yang sudah berusaha tanpa henti untuk memperkasa masyarakat di seluruh negara untuk ke tahap yang lebih tinggi.

Kami menghargai usaha gigih mereka dalam memajukan komunikasi dan kesalinghubungan, serta peranan penting mereka dalam membentuk landskap digital negara.

Teruskan usaha kerjasama untuk mencapai visi demi Malaysia yang terhubung secara digital dan terus memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dan negara.

Malaysia kekal teguh dengan komitmennya untuk memperkasakan masyarakat ke arah inovasi teknologi dan transformasi digital, memangkin pertumbuhan ekonomi digital melalui penyediaan akses rangkaian komunikasi serta perkongsian pengetahuan dan maklumat serta pembinaan kapasiti masyarakat.

Dengan pendekatan pemikiran yang ke hadapan, ekonomi digital bersedia untuk membolehkan medan yang sama rata untuk semua, serta memastikan faedah pendigitalan boleh diakses oleh masyarakat dan menjamin kedudukan negara dalam era digital.

Selamat menyambut Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2023!


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.