Pasukan petugas 5G pastikan liputan 80% dicapai

09 Mei 2023 - Free Malaysia Today


PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersetuju membentuk satu pasukan petugas memastikan pelaksanaan rangkaian 5G di bawah Digital Nasional Bhd (DNB) berjaya mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil dalam kenyataan, berkata penubuhan pasukan petugas itu juga untuk memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan lancar pada awal 2024.

Beliau berkata, pasukan petugas itu akan dipengerusikan secara bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha KKD Mohamad Fauzi Md Isa serta diurussetiakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Katanya, ia akan turut dianggotai pihak DNB dan pihak penyedia perkhidmatan antaranya CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, dan YTL Communications serta pihak lain yang akan ditentukan dari semasa ke semasa.

“Adalah menjadi matlamat utama pasukan petugas ini untuk memantau rangka kerja dan pelan peralihan kepada model dwirangkaian 5G di Malaysia bagi menjamin keteraturan dan ketertiban pelaksanaannya dari aspek perundangan, teknikal, dan kewangan,” katanya.

Fahmi sebelum ini dilaporkan, berkata kerajaan memutuskan menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa di bawah DNB mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk.

Menurutnya, peralihan kepada model dwirangkaian itu akan dilaksanakan berpandukan syarat selari amalan di peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.