Pelaksanaan 5G: Batal arahan menteri hanya beri kebenaran kepada DNB

05 Jun 2023 - Free Malaysia Today


PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi menggesa kerajaan membatalkan arahan yang memberikan hak eksklusif kepada Digital Nasional Bhd (DNB) untuk membina dan mengurus infrastruktur 5G di negara ini.

Dalam arahan menteri yang dikeluarkan pada 31 Mei 2021, menteri komunikasi dan multimedia ketika itu, Saifuddin Abdullah berkata DNB dilantik “pihak neutral tunggal bagi melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara, dan menyediakan perkhidmatan borong 5G”.

Ini menjadikan DNB satu-satunya entiti yang dibenarkan secara sah untuk membina dan mengurus infrastruktur 5G di negara ini. Dari perspektif undang-undang, arahan itu kekal berkuat kuasa sehingga hari ini.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata kerajaan mesti menghapuskan peraturan itu untuk menunjukkan ia serius untuk mengekang monopoli.

“Memecahkan monopoli hanyalah soal membatalkan perlindungan dan membuka pasaran.

“Dalam kes DNB, peraturan itu perlu dibatalkan dan mujurlah, ia lebih mudah kerana ia hanya melibatkan arahan menteri,” katanya kepada FMT.

Williams berkata monopoli itu, yang diwujudkan apabila DNB dilantik sebagai syarikat tujuan khas kerajaan bagi pelaksanaan 5G, adalah tidak perlu.

“5G boleh dilaksanakan tanpa penglibatan Putrajaya,” tambahnya.

“Monopoli DNB secara politiknya telah ditolak, dan adalah baik ia dibatalkan sekarang kerana pengguna akan mendapat manfaat daripada kos yang lebih rendah, dengan lebih banyak inovasi dipacu oleh pasaran,” kata Williams.

Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berkata walaupun ketidakpastian kekal berhubung pelaksanaan 5G, pengenalan penyedia rangkaian kedua adalah langkah yang tepat.

Beliau bersetuju bahawa tidak pernah ada keperluan untuk DNB pada mulanya, dan dengan adanya syarikat telekomunikasi sedia ada serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), ia sudah mencukupi untuk negara mengendalikan dan memantau pelaksanaan 5G.

Pada 3 Mei, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa Putrajaya telah bersetuju untuk memperkenalkan penyedia perkhidmatan 5G kedua.

Bagaimanapun, beliau berkata pelancaran rangkaian kedua hanya akan dilaksanakan sebaik sahaja DNB mencapai liputan 80% di kawasan berpenduduk.

Fahmi berkata, beliau menjangkakan rangkaian kedua itu akan mula beroperasi seawal Januari.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.