Rancangan kerajaan ‘lepaskan’ DNB akan manfaat industri 5G, kata ahli ekonomi

10 Mei 2023 - Free Malaysia Today


PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi dan veteran dalam dunia internet memuji langkah kerajaan melepaskan pegangannya dalam Digital Nasional Bhd, sebuah syarikat bertujuan khas Kementerian Kewangan yang ditugaskan untuk melancarkan rangkaian 5G negara.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, tidak ada sebab untuk kerajaan memiliki rangkaian 5G apabila ia berdaya maju dari perspektif komersial.

“Idea bahawa ia boleh diswastakan dan monopoli dipecahkan adalah satu langkah ke arah yang betul untuk ke pasaran lebih kompetitif dan dasar perindustrian lebih liberal,” kata Williams kepada FMT.

Pada Isnin, Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Ali Hanafiah Yunus, berkata sebuah entiti swasta akan mengambil alih DNB sebaik sahaja sasaran rangkaian 5G sebanyak 80% liputan kawasan berpenduduk (CoPA) dicapai.

Ali mendedahkan, penyediaan perkhidmatan 5G kemudian akan berada bawah dua entiti swasta. “Entiti A akan mengambil alih DNB, di mana ia akan meneruskan semula operasi dan pelaksanaan. Entiti B akan bermula dari asas,” katanya.

Williams berkata, jika kerajaan boleh mendapatkan semula sebahagian daripada kosnya dengan menjual 35% pegangan dalam DNB, walaupun pada keuntungan, pelaburan asal akan berbaloi. Hasil itu kemudian boleh digunakan untuk keutamaan yang lebih mendesak.

Beliau juga berkata, kemungkinan besar entiti A akan menjadi konglomerat atau pelaburan bersama dalam kalangan syarikat telekomunikasi sedia ada, dan ia akan memberi peluang lebih baik kepada syarikat tempatan untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif itu dan meredakan kebimbangan pemilikan asing atau penguasaan dalam ruang 5G.

Ketika ini, Kementerian Kewangan memegang 35% saham dalam DNB. Ia juga memegang “golden share” dalam syarikat itu, yang memberikan pelbagai hak dan keistimewaan dan meliputi bidang seperti pemilikan, penjualan atau pemindahan saham di pihak kerajaan.

Pada Oktober tahun lalu, CelcomDigi Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, Digi Telecommunications Sdn Bhd dan Celcom Mobile Sdn Bhd, bersetuju untuk secara kolektif mengambil 65% pegangan dalam DNB bersama YTL Communications Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd.

Bagaimanapun, pada 4 Mei, CelcomDigi mengumumkan anak syarikatnya menarik diri daripada perjanjian itu berikutan kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil bahawa kerajaan  memberi lampu hijau kepada penubuhan rangkaian 5G kedua.

Sementara itu, Mohamed Awang Lah berkata kerajaan tidak seharusnya menunggu sehingga sasaran 80% CoPA dicapai sebelum melupuskan sahamnya dalam DNB.

“Ia harus dilakukan secepat mungkin, tanpa mengira kawasan liputan oleh DNB. Lagipun, CoPA tidak pernah ditakrifkan dalam km persegi,” kata Mohamed, yang sebelum ini mengetuai Jaring, penyedia internet pertama Malaysia.

Beliau berkata, secara prinsip kerajaan tidak sepatutnya terlibat dalam perniagaan bersaing dengan syarikat swasta.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.