Berita Harian - Pelaksanaan JENDELA berjalan seperti dirancang - SKMM
23 Jun 2021 - Berita Harian
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sejak September lalu berjalan seperti dirancang.
Menurut Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam satu kenyataan, dalam tempoh 10 bulan pihaknya sudah menerbitkan dua Laporan Suku Tahun JENDELA yang memperincikan mengenai perkembangan dan kemajuan terkini pelaksanaan program berkenaan.
Katanya, Laporan Suku Tahun JENDELA yang pertama melaporkan sehingga 31 Disember lalu sebanyak 456,757 premis sudah diliputi dengan dengan jalur lebar melebihi sasaran awal iaitu 352,101 premis.
"Selain itu, dalam tempoh yang sama sebanyak 876 tapak baharu turut didirikan berbanding sasaran sebelumnya iaitu 940, manakala 16,367 menara sedia ada sudah dinaik taraf mengatasi sasaran iaitu 16,214.
"Bagi Laporan Suku Tahun JENDELA yang kedua iaitu sehingga 31 Mac sebanyak 292,826 premis sudah diliputi dengan jalur lebar tetap melebihi sasaran awal iaitu 221,539 premis.
"Selain itu, 29 tapak baharu didirikan setakat ini berbanding sasaran awal hanya 25 tapak, manakala 3,278 menara sedia ada dinaik taraf jika dibandingkan dengan sasaran 3,223 menara," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu bagi mengulas persoalan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh mengenai pencapaian JENDELA yang menelan belanja RM3.2 bilion.
Menurut SKMM, menerusi Laporan Suku Tahun JENDELA itu, ia turut melaporkan liputan 4G turut ditingkatkan kepada paras 93.51 peratus berbanding 92.03 peratus pada suku sebelumnya.
"Secara keseluruhannya, 5.7 juta premis sudah diliputi dengan gentian optik setakat 31 Mac lalu. Sementara itu, bagi tahun ini pelan JENDELA turut menyasarkan untuk menambah sebanyak 1,245,452 premis untuk sambungan gentian optik," katanya.
Mengenai sasaran tahun ini, MCMC berkata pihaknya akan menambah 1,245,452 premis bagi sambungan gantian optik.
Selain itu, SKMM juga akan menaik taraf 12,499 stesen pemancar sedia ada kepada teknologi 4G bagi memperluaskan liputan dan peningkatan kelajuan yang merangkumi perancangan bawah Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagar (USP) dan Komersial.
Katanya, sebanyak 193 tapak menara baharu akan dibina serta menamatkan rangkaian 3G dan pemindahan spektrum bagi penggunaan teknologi 4G yang secara langsung mampu meningkatkan kelajuan perkhidmatan.
"Bagi kawasan yang kurang penduduk terutamanya di kawasan pedalaman, turut dilaksanakan adalah pemasangan dan penyediaan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit (VSAT) di 839 lokasi bagi meningkatkan liputan Internet.
"Ia akan dilaksanakan di lapan negeri iaitu Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak dengan perkhidmatan ini dijangka siap dilaksanakan menjelang Oktober ini. Ia adalah penyelesaian jangka pendek yang cepat," katanya.
Bagi 2022, SKMM menyasarkan pelaksanaan JENDELA akan meliputi sambungan gentian optik kepada 929,631 premis tambahan dan pembinaan sebanyak 1,661 menara komunikasi baharu di kawasan luar bandar dan pedalaman.
"Pihak SKMM maklum bahawa masih terdapat banyak aduan, terutamanya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Bagi aduan yang boleh dibantu dengan penyelesaian sementara jangka pendek, ia dilaksanakan dengan kadar segera.
"Namun, aduan yang tidak dapat disediakan penyelesaian jangka pendek, penerangan diberi untuk membantu pengadu memahami perancangan yang disediakan.
"Masyarakat juga dimaklumkan mengenai Pusat Internet Komuniti (PIK) yang sedia ada yang juga memberi kemudahan untuk capaian Internet secara berkelompok," katanya.
"SKMM sentiasa memberi makluman kepada masyarakat melalui pelbagai cara seperti, televisyen, radio, media cetak, media dalam talian dan juga media sosial yang rasmi," katanya.