Berita Harian - SKMM selesai masalah capaian internet di Sabah

07 Jul 2021 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Membina menara baharu dan menaik taraf menara sedia ada antara inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha menyelesaikan masalah capaian aduan internet yang dihadapi penduduk di beberapa lokasi di Sabah.

SKMM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan sebagai penyelesaian jangka panjang, Kampung Tulang-Tulang dimasukkan dalam perancangan pelaksanaan menara komunikasi baharu di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 susulan masalah yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Permai, Tongod, Kinabatangan.

 

"Kerja pembinaan menara baharu akan bermula awal tahun 2022 dan dijangka siap pada Disember tahun yang sama.

"Perkhidmatan menara sedia ada di Kampung Kuamut juga dalam pelaksanaan naik taraf kepada rangkaian 4G di bawah pelan JENDELA yang dijangka siap pada Disember tahun ini," katanya.

Bagi lokasi di Pulau Sebatik, Tawau, SKMM berkata sebagai langkah sementara pengadu dinasihatkan untuk tidak mengubah tetapan 4G pada peranti dan menikmati kelajuan internet sedia ada bagi pilihan penyedia perkhidmatan yang dilanggan.

Katanya, bagi penyelesaian jangka panjang pula sebuah menara komunikasi sedang dalam pembinaan di Kampung Tamang dan dijangka beroperasi sepenuhnya awal bulan ini.

"Pembinaan menara itu akan memberikan perkhidmatan 4G oleh pihak Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile, sekali gus mempertingkatkan capaian internet di kawasan terbabit, termasuk Kampung Tamang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wallace Bay," katanya.

SKMM berkata, hasil siasatan di Kampung Sungai Darat, Kota Marudu mendapati isu capaian internet yang lemah adalah akibat terhalang dengan bentuk muka bumi.

"Justeru, hasil usaha bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Sabah, lokasi itu disenaraikan untuk disediakan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT).

"Pelaksanaan inisiatif MOSTI Sabah dijangka akan dilaksanakan sekitar bulan ini sehingga September, manakala bagi penyelesaian jangka panjang pula lokasi ini akan dimasukkan dalam perancangan JENDELA fasa akan datang.

"SKMM akan terus menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan untuk menangani masalah capaian internet di seluruh negara," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.