Bernama - MCMC tekad pertingkat liputan internet dan jalur lebar

15 Apr 2021 - Bernama


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mahu untuk terus meningkatkan liputan Internet dan jalur lebar seiring dengan Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Pengerusinya, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, berkata fokus MCMC adalah berdasarkan tiga parameter, iaitu jalur lebar talian tetap, menara komunikasi baharu dan menaik taraf menara yang sedia ada untuk membolehkan peralihan daripada rangkaian generasi ketiga (3G) kepada rangkaian 4G.

"Bagi jalur lebar talian tetap, kami sedang berusaha melaksanakan penyambungan fiber ke premis di negara ini dan bagi suku sebelum ini, kami telah melakukan penyambungan melebihi 100 peratus.

"Kami juga mencapai lebih daripada 100 peratus pada suku kedua tahun ini (Januari-Mac, 2021)," katanya pada program The Nation terbitan Bernama TV hari ini bersempena dengan Laporan Suku Kedua JENDELA baru-baru ini.

Fadhlullah berkata, pendekatan yang lebih banyak didorong oleh penawaran sedang dilakukan ketika ini iaitu berkaitan menara komunikasi apabila banyak pihak membuat persiapan untuk pembinaan infrastruktur itu sebelum terdapat permintaan.

"Pada suku sebelum ini, kami mendapati wujud beberapa masalah dengan menara komunikasi baharu, terutama dalam mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri.

"Tetapi kami menjangkakan kelulusan akan diperoleh lebih pantas kerana kerajaan negeri telah menyedari betapa pentingnya bagi mempercepatkan proses berkenaan," katanya.

Mengenai menaik taraf menara komunikasi, Fadhlullah berkata, rangkaian 3G perlu dihentikan kerana menggunakan sumber terhad (spektrum) yang juga digunakan oleh rangkaian 4G.

Justeru, spektrum harus dipertingkatkan kepada 4G untuk mendapat lebih banyak data dan kelajuan, katanya.

Beliau memberitahu, ia akan membolehkan lebih ramai orang mendapat akses kepada penstriman video dan pengalaman internet yang dipertingkatkan.

Setakat 31 Mac, 2021, MCMC melaporkan bahawa 732,652 pelanggan 3G telah beralih kepada 4G bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

MCMC menjangkakan liputan 4G di kawasan padat penduduk akan mencapai 96.9 peratus pada akhir tahun 2022.

JENDELA dilancarkan pada 29 Ogos, 2020, dan laporan suku tahunan pertamanya dikeluarkan pada 31, Disember 2020.

Ia mengeluarkan laporan setiap suku tahun kepada orang ramai untuk memastikan ketelusan dan pemantauan kemajuan.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.