Bernama - 34 Syarikat Perkhidmatan Telekomunikasi Diberi Kelonggaran Bayar Sumbangan Wajib Kumpulan Wang PPS

21 Mei 2021 - Bernama


PUTRAJAYA, 21 Mei - Sebanyak 34 syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang memegang lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) diberi kelonggaran membayar sumbangan wajib kepada Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (Kumpulan Wang PPS).

Menerusi kenyataan hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata kelonggaran bayaran itu melibatkan RM910.4 juta bagi tempoh Januari 2020 hingga April 2021.

Menurutnya, kesemua syarikat berkenaan telah memohon kelonggaran untuk menangguhkan atau membuat bayaran secara ansuran terhadap sumbangan kepada Kumpulan Wang PPS akibat terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi kelonggaran kepada syarikat terbabit yang menjalankan aktiviti pembekal kemudahan rangkaian, pembekal perkhidmatan rangkaian serta pembekal perkhidmatan aplikasi,” katanya.

Dengan kelonggaran yang diberikan, Saifuddin berharap syarikat terbabit dapat menyelaras semula operasi serta perniagaan untuk terus menyumbang kepada pembangunan sektor telekomunikasi di negara ini.

Kumpulan Wang PPS ditubuhkan di bawah Seksyen 204 AKM 1998 dan dikendalikan MCMC yang bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi serta digital ke kawasan yang kurang mendapat capaian telekomunikasi.

Kumpulan wang itu mengumpul sumbangan wajib sebanyak enam peratus daripada syarikat perkhidmatan telekomunikasi yang mencatat keuntungan bersih melebihi RM2 juta pada tahun kewangan yang dinilai.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.