Kosmo - Kerja naik taraf 4G giat dijalankan

28 Jun 2021 - Kosmo


PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat menjalankan kerja-kerja menaik taraf menara komunikasi daripada liputan 3G kepada 4G di Kampung Ulu Seladang, Permaisuri, Terengganu.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, ianya susulan daripada laporan media tempatan pada 26 Jun lalu mengenai masalah capaian internet yang lemah di kampung terbabit.

Menurutnya, pihak MCMC bersama-sama wakil penyedia perkhidmatan telah turun padang dan melawat kedua-dua pelajar itu serta penduduk kampung.

“Hasil tinjauan yang dijalankan mendapati, liputan internet di kampung tersebut terhad kepada 3G sahaja dan disebabkan itu, keperluan pelajar dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah tidak memadai.

“Di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), kerja-kerja menaik taraf menara komunikasi di kampung terbabit kepada liputan 4G sedang giat dijalankan dan dijangka siap selewat-lewatnya penghujung Ogos ini,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, setelah kerja-kerja menaik taraf siap nanti, isu kualiti liputan di Kampung Ulu Seladang dapat diselesaikan

“Bukan itu sahaja, kira-kira 1,000 penduduk di tiga kampung sekitarnya di Kampung Besut, Kampung Bayas dan Kampung Padang juga dapat manfaat kemudahan liputan internet ini,” ujarnya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.