Kosmo - Manfaat 1GB data percuma bagi tujuan PdPR

02 Feb 2021 - Kosmo


CYBERJAYA – Pelanggan perkhidmatan telekomunikasi terutamanya golongan pelajar, guru dan ibu bapa dinasihat memanfaatkan peruntukan data percuma 1 gigabte (GB) sehari dengan sebaiknya khusus bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

MCMC menerusi kenyataan akhbar berkata, pelanggan perkhidmatan telekomunikasi, peruntukan data percuma sejak April tahun lalu itu adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video serta menguruskan bahan-bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu.

“Bagaimanapun, ianya tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, permainan dalam talian dan penstriman muzik,” katanya di sini hari ini.

MCMC berkata, pihak industri telekomunikasi juga menyediakan pakej langganan khas untuk pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sejak 6 Januari lalu hingga akhir April depan.

Menurutnya, pakej prabayar oleh Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan TM itu menawarkan pas data 15GB dengan harga serendah RM20 sebulan.

“Pengguna pakej ini turut dapat menikmati peruntukan 1GB data percuma tambahan setiap hari seperti juga pelanggan pakej lain,” katanya.

Dalam pada itu, MCMC berkata, YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) turut sama melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 April depan dan turut merangkumi penuntut IPT.

Katanya, pakej istimewa ini menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan percuma dan telefon percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.