Utusan Malaysia - 8.5 juta rakyat peroleh manfaat Program Jaringan Prihatin bernilai RM3.5 bilion

05 Mei 2021 - Utusan Malaysia


PUTRAJAYA:  Jurang rangkaian  internet dan kemampuan kewangan untuk  memperoleh capaian talian komunikasi terutama dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah menjadi asas kerajaan melancarkan Program Jaringan  Prihatin berjumlah RM3.5 bilion.

Perdana  Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun kos pelan jalur lebar terendah di Malaysia iaitu 1.1 peratus daripada pendapatan negara kasar  per kapita bulanan sejajar dengan  garis panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun ia masih  tinggi bagi sebahagian kelompok masyarakat tidak berkemampuan.

Menurut beliau, kos telefon pintar juga  menelan sebahagian besar  pendapatan bulanan isi rumah berpendapatan rendah.  

Justeru, kata beliau, program tersebut dijangka dapat memanfaatkan  sekitar 8.5 juta rakyat dari kumpulan  B40 untuk memiliki alat peranti telefon  pintar atau menikmati bantuan pelan  jalur lebar internet. 

“Daripada jumlah  keseluruhan RM3.5 bilion ini, kerajaan  akan membelanjakan sejumlah RM2 bilion manakala syarikat  telekomunikasi dan penyedia  perkhidmatan pula akan memberi  sumbangan tambahan berjumlah RM1.5 bilion, terutamanya dalam bentuk data percuma,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jaringan Prihatin itu, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, untuk menangani cabaran jurang digital antaranya mereka  yang tinggal di pedalaman, warga emas atau mempunyai literasi  digital rendah,  rangka kerja ke arah itu perlu melibatkan kerjasama utuh antara sektor  awam dan swasta.

Kata beliau, tindakan itu perlu difokuskan kepada tiga strategi utama iaitu akses, kemampuan  kewangan atau kemahiran.

Muhyiddin berkata, kerajaan sedar aspek  liputan, penembusan dan kelajuan  rangkaian, masih banyak ruang yang  boleh diperbaiki terutama di sesetengah kawasan luar bandar berkepadatan rendah. 

Oleh itu, katanya, kerajaan  sudah memperuntukkan penaiktarafan perkhidmatan jalur lebar seluruh negara melalui pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang merangkumi  rancangan gentian optik serta meningkatkan liputan 4G berkualiti bernilai RM21 bilion menjelang 2022. 

“Kita juga akan mempercepatkan penyediaan infrastruktur 5G dengan pelaburan swasta melalui usaha Digital Nasional Berhad yang dianggar  bernilai RM15 bilion. Insyaallah usaha-usaha ini akan membantu mengurangkan jurang liputan dan kelajuan dalam tempoh lima tahun  akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kekurangan kemahiran  digital juga menjadi penghalang kepada usaha peningkatan pendigitalan dalam kalangan masyarakat yang mana  menurut  tinjauan Suruhanjaya Komunikasi dan  Multimedia Malaysia (SKMM), pada  masa ini hanya 50 peratus rakyat mempunyai kemahiran digital  standard, sementara hanya 25 peratus memiliki kemahiran digital  lanjutan. 

Bagi menangani isu kemahiran ini khususnya bagi pengusaha perusahaan kecil dan sederhana  (PKS) untuk menerima pakai  pendigitalan, beliau berkata, kerajaan menyalurkan pelbagai insentif dalam  Belanjawan 2021 seperti Geran  Digitalisasi PKS berjumlah RM150  juta, Dana Transformasi Digitalisasi  Industri berjumlah RM1 bilion dan  Fasiliti Teknologi Tinggi berjumlah  RM1 bilion.

Beliau memberitahu, SKMM membina 910 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara yang merupakan balai raya digital untuk  membimbing komuniti melengkapkan  diri dengan kemahiran digital seperti  perniagaan dalam talian, e-dagang. 

“Untuk merapatkan jurang digital dalam  kalangan masyarakat, terdapat keperluan memastikan bahawa setiap orang  mempunyai akses dengan kos berpatutan serta kemahiran diperlukan  untuk memanfaatkan internet menjelang  2030.  

“Dalam usaha kita menangani  krisis pandemik sekali gus meletakkan batu asas ekonomi Malaysia ke  arah lebih inklusif, mahu tidak mahu,  jurang digital antara rakyat wajib dirapatkan.  Meskipun keterangkuman digital bukanlah  satu-satunya jalan penyelesaian kepada ketidaksamaan, ia merupakan komponen  asas bagi membolehkan inklusiviti sosial  dalam kalangan rakyat tercapai,” katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.