Berita Harian - 70,000 penduduk Selangor dapat data internet percuma
04 Ogo 2021 - Berita Harian
SHAH ALAM: Kira-kira 70,000 penduduk di Selangor yang layak akan menerima manfaat menerusi program inisiatif Data Internet Selangor yang dilancarkan hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata inisiatif menawarkan kad sim dengan langganan data internet percuma itu dilancarkan melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).
Beliau berkata, Data Internet Selangor membabitkan peruntukan RM17.5 juta adalah satu daripada 25 inisiatif diumumkan dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang menelan belanja keseluruhan RM551.56 juta.
"Inisiatif ini bertujuan merapatkan jurang digital bagi mengupayakan lebih ramai golongan sasaran, mengukuhkan ekonomi secara progresif serta memastikan tiada anak-anak tercicir dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR).
"Syarikat telekomunikasi akan terbabit secara langsung dalam penyediaan data internet seterusnya membantu melancarkan kehidupan seharian secara lebih teratur. Program ini menawarkan kad sim dengan langganan data internet secara percuma, dibiayai sepenuhnya oleh MBI bagi tempoh 12 bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amirudin berharap program itu dapat memberikan manfaat kepada pelbagai golongan sasaran di Selangor seperti masyarakat setempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), pelajar, peniaga dalam talian, petani, peniaga kecil, belia dan penghantar e-hailing.
"Pendaftaran dibuka sejak 15 Julai lalu hingga 15 September ini, manakala kad sim akan diserahkan mulai 1 Oktober depan.
"Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui semua pusat khidmat DUN atau
laman sesawang Platform Selangor di www.platselangor.com," katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu turut dibantu semua EXCO kerajaan negeri, ADUN, Penyelaras DUN dalam membantu mendaftarkan bakal penerima daripada pelbagai kategori.
"Dengan mengenal pasti golongan sasaran yang layak mendapat manfaat program Data Internet Selangor ini, lebih ramai rakyat di negeri ini akan mempunyai akses perhubungan digital secara inklusif," katanya.