Berita Harian - Celcom sasar 97 peratus liputan 4G ke seluruh negara
04 Mac 2021 - Berita Harian
KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd menyasar liputan rangkaian teknologi generasi keempat (4G) kendaliannya mencecah kira-kira 97 peratus di seluruh negara selepas menamatkan rangkaian 3G pada akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Idham Nawawi, berkata menjelang akhir 2022, Celcom berharap dapat mencapai hampir 97 ke 98 peratus liputan rangkaian berbanding 93 ke 94 peratus pada masa ini berikutan tempoh bagi satu peratus liputan akhir rangkaian akan memakan masa lebih lama berbanding tahap 50 peratus yang pertama.
"Usaha bagi mempercepatkan pelaburan ini akan membolehkan kami menghampiri keperluan untuk memenuhi peningkatan permintaan terbabit.
"Adalah wajar untuk kami membawa manfaat itu menerusi pelaksanaan lebih awal lagi supaya lebih ramai lagi dapat menikmatinya," katanya dalam program Jendela Bernama TV yang bertajuk 'Celcom's Accelerated Network Investment' pada Khamis.
Mengulas selanjutnya, Mohamad Idham juga optimis sokongan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membolehkan syarikat telekomunikasi terbabit bertindak memperluas liputan rangkaiannya di beberapa kawasan terpencil mencecah kira-kira 96 ke 97 peratus menjelang akhir tahun ini.
Menurutnya, memandangkan pandemik COVID-19 telah mempercepatkan banyak perkara, usaha menamatkan rangkaian 3G yang beroperasi sejak 2013, juga menjadi lebih ketara menjelang penghujung 2021.
Beliau berkata, dari sudut sebuah negara, tiada sebarang penutupan sebenar rangkaian itu kecuali membabitkan rangkaian generasi pertama daripada analog kepada digital.
"Kami masih mempunyai ramai pengguna peranti 3G. Usaha menamatkan rangkaian itu memerlukan banyak perancangan kerana ada implikasinya, namun kami telah memulakan migrasi itu kira-kira dua tahun lalu.
"Jika dilihat, kami pernah mempunyai 2.7 juta (pengguna) peranti 3G dalam rangkaian Celcom pada akhir 2018 tetapi itu telah dikurangkan secara beransur-ansur kepada 1.7 juta pada akhir 2019.
"Angka itu berjumlah 800,000 orang pada akhir 2020," katanya.
Beliau menegaskan bahawa baki 800,000 pengguna itu juga bukanlah individu semata-mata tetapi merangkumi mesin industri yang menggunakan rangkaian itu bagi tujuan pembacaan meter seperti meter tenaga dan air bagi penghantaran data menerusi peranti 3G.
"Inilah cabaran yang perlu kami tangani dan ia berada di serata negara ini," katanya.
Mengulas Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bertujuan memastikan setiap rakyat menikmati pengalaman kualiti jalur lebar dan ketersambungan internet yang mantap, beliau menyifatkannya sebagai satu cabaran yang boleh ditangani oleh penggiat industri.
"Cabarannya adalah untuk menjangkau populasi yang lebih jauh di pedalaman. Ini kerana semakin jauh kawasan itu, maka penduduknya juga lebih berselerak dan ini lebih mencabar berbanding di bandar.
"(Sebagai contoh) jika anda mahu menjangkau 5.0 peratus atau 2.0 peratus daripada populasi, kos bagi membawa prasarana terbabit boleh meningkat sehingga 8 ke 10 kali ganda daripada kadar kos di bandar," katanya.
Sehubungan itu, Mohamad Idham berkata, perancangan sumber, perancangan rangkaian dan reka bentuk secara teliti, termasuk kemungkinan penggunaan jenis teknologi berbeza mengikut kesesuaian persekitaran menjadi faktor utamanya.
"Ya, benar ini satu cabaran, tetapi ia juga satu keperluan yang perlu dilakukan sebagai sebuah negara.
"Sebagaimana yang dapat dilihat sejak 12 bulan lalu menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apa yang kritikal adalah setiap rumah di Malaysia perlu mempunyai hak ke atas kualiti akses yang tepat dan bukan lagi satu kemewahan," katanya.
Ditanya sama ada usaha menjangkau semua rakyat tanpa sesiapapun ketinggalan sebagai realistik, beliau berkata ini boleh dilaksanakan namun bukan dengan teknologi yang sama.
"Adalah kurang tepat untuk menggunakan teknologi sama bagi setiap sudut dunia atau negara. Kelompok 2.0 peratus terakhir di negara ini misalnya mungkin lebih sesuai disalinghubungkan dengan teknologi satelit.
"Peralatan berbeza itu turut membabitkan penggunaan yang berbeza. Apabila anda cuba menjangkau kawasan pinggir bandar, anda boleh gunakan spektrum lebih rendah kerana jangkauannya yang luas berbanding menggunakan kapasiti spektrum semata-mata," katanya.