Berita Harian - FGV bina 13 menara telekomunikasi di Terengganu
26 Mac 2021 - Berita Harian
KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) menerusi anak syarikatnya, FGV Prodata Systems Sdn Bhd (FGV Prodata), membina 13 menara telekomunikasi di Terengganu, inisiatif bagi menyokong agenda ekonomi digital negara.
FGV Prodata dilantik sebagai penyedia infrastruktur menara telekomunikasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP 1) dan menggunakan dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) SKMM.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan, berkata infrastruktur telekomunikasi itu menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu dimiliki oleh penduduk negeri Terengganu.
"Ia bertujuan menambah kelajuan dan kestabilan capaian internet di pusat internet komuniti (PIK) untuk membantu usahawan kecil meningkatkan pendapatan dan memperluaskan pasaran produk mereka.
"Pelaksanaan projek ini juga penting untuk membantu pelajar yang mengikuti pembelajaran secara dalam talian," katanya.
FGV Prodata sudah menyiapkan 10 menara telekomunikasi di daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.
Tiga lagi menara telekomunikasi di Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu akan siap hujung April serta mula beroperasi Mei ini.