Berita Harian - Penduduk Larut nikmati internet MySurFi Satelit Serba Dinamik
02 Ogo 2021 - Berita Harian
LARUT: Perkhidmatan Internet Satelit MySurFi kendalian syarikat kejuruteraan Serba Dinamik Group Bhd yang telah dilaksanakan di Melaka, dan Kelantan kini diperkenalkan di Larut, Perak.
Program Khidmat Sosial Masyarakat Internet Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi menggunakan Satelit, MySurFi dikendalikan oleh Serba Dinamik bersama Mosyawa Sdn Bhd dengan kerjasama Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan memberikan capaian internet percuma selama enam bulan di waktu pandemik ini.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Serba Dinamik Group Berhad, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah, aktiviti CSR sebegini adalah sangat unik berbanding program CSR lain yang dijalankan oleh syarikat ini.
Selain perkhidmatan internet percuma, Serba Dinamik turut menyumbang keperluan semasa dan bantuan kepada keluarga terkesan akibat pandemik Covid-19 ini. Inisiatif ini juga diterajui oleh Bahagian Teknologi Angkasa Kumpulan Serba Dinamik dan CARE Team.
Semasa ditemubual dalam sesi penerangan tentang perkhidmatan MySurFi di balai raya oleh kakitangan syarikat Serba Dinamik dan Mosyawa, Ketua Kampung Kelian Gunung, Zulkifli menyatakan kegembiraan dan keterujaan mencuba capaian internet yang berasaskan satelit itu.
Katanya bantuan komputer riba yang diterima cucunya lebih dari 3 bulan yang selama ini hanya dapat diakses kandungan 'offline' kini lebih bermakna apabila mendapat capaian internet di rumah hasil dari program CSR MySurFi.
Dengan inisiatif ini, Mosyawa dan Serba Dinamik amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk bersama membantu pihak kerajaan dalam merealisasikan hasrat untuk memberi perkhidmatan jalur lebar ini secara menyeluruh di kawasan yang tiada capaian internet.
Ketua Pegawai Eksekutif Mosyawa Sdn Bhd, Mohd Syakirin Che Aziz berkata, pelaksanaan MySurFi adalah sejajar dengan kemajuan teknologi semasa yang mana penggunaan satelit ini sudah tidak asing lagi dan MySurFi sudah menghala kearah itu dalam memberi perkhidmatan jalur lebar yang berpatutan dan berkelajuan tinggi.
Dalam perbualan video secara maya secara langsung menggunakan perkhidmatan MySurFi bersama Hamzah, beliau berterima kasih dan gembira dengan perkembangan terbaru di Kampung Kelian Gunung dengan kedudukan geografinya jauh di pedalaman, menyukarkan akses kepada internet.
"Insya-Allah kita boleh bekerjasama dengan syarikat ini, untuk kita membantu orang kampung sama-sama menikmati internet sama seperti orang yang duduk di bandar-bandar.
"Kita tidak mahu ada "jurang digital". Kalau boleh, semua orang kampung dan orang di bandar seharusnya mempunyai peluang yang sama, tambahan pula dalam masalah kita menghadapi isu wabak COVID-19 ini, anak anak belajar di rumah secara persendirian.
"Jadi kalau semua komunikasi boleh kita berikan, maka guru-guru di sekolah boleh juga mengajar mereka yang tinggal jauh di pedalaman. Oleh sebab itu, saya ucapkan terima kasih kepada syarikat Serba Dinamik dan juga Mosyawa yang bekerjasama untuk memastikan peluang pelajaran dan pendidikan yang nak kita berikan itu boleh kita gunakan kaedah satelit yang sedang pun mereka cuba di kampung ini.
"Diucapkan terima kasih dan Insya-Allah kalau ia baik, orang kampung akan maklumkan kepada saya dan kita akan cuba untuk memastikan ia boleh kita guna, bukan hanya di kampung ini tapi juga di banyak kampung di seluruh Kawasan Larut ini, terima kasih banyak Datuk Karim," kata beliau dalam sesi perbualan secara maya itu.
Menurut Karim, pemasangan MySurFi hanya mengambil masa kurang dua minggu dari tarikh tinjauan mula di tapak yang dipilih.
Spesifikasi peralatan yang dipasang pula adalah menepati piawaian yang ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Pada bulan Jun yang lalu, syarikat Serba Dinamik Group Berhad telah menjalankan kerjasama strategik bersama Network Innovation Inc dari Kanada, sebuah syarikat pengendali perkhidmatan berpengalaman dalam memasang hab dan Pusat Operasi Rangkaian (NOC) serta Teleport pertama milik Serba Dinamik di Cyberjaya.
SDGB akan mula melabur di dalam aset dan infrastruktur yang berkaitan dengan kesalinghubungan melalui teknologi satelit. Sebagai salah satu pelan jangka panjangnya, SDGB kini berada di fasa kajian dan reka bentuk untuk Satelit Telekomunikasi sendiri dengan rakan strategik dari seluruh dunia.
Fasa reka bentuk ini juga membabitkan secara langsung penyelidik dari universiti tempatan melalui kerjasama Nexus Ekonomi Angkasa Baharu (NSEN) yang dilancarkan pada 17 Mac 2021.
Ini hanyalah titik permulaan untuk SDGB dalam industri angkasa global. Syarikat ini telah mengadakan pelbagai perbincangan mengenai lain-lain perkongsian perniagaan dan teknologi di sekitar Eropah dan Asia.