05 Apr 2021 - Berita Harian
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Allo Technology Sdn Bhd (Allo) sudah melengkapkan pembinaan infrastruktur gentian optik yang mampu menghubungkan lebih 17,000 kediaman di Melaka bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Dengan tersedianya infrastruktur gentian optik ini, Allo sebagai penyedia akses terbuka berjaya meluaskan potensi capaian internet jalur lebar berkelajuan (HSBB) hingga 1Gbps di Melaka yang kini disediakan oleh pembekal perkhidmatan runcit (RSP) Maxis, Astro, Digi dan Celcom. Terbaharu, kawasan yang mendapat faedah infrastruktur berkenaan ialah Alor Gajah (8,500 kediaman), Malim Jaya (4,400), Ayer Keroh (500) dan sekitar Jasin (2,500).
Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata penyempurnaan prasarana berkenaan adalah susulan projek rintis HSBB yang siap dalam tempoh kurang tiga bulan bermula Januari 2019 yang menghubungkan 1,100 kediaman di Taman Maju, Taman Merbau Perdana dan FELDA Kemendor.
"Penyediaan infrastruktur HSBB ini secara tidak langsung menggambarkan sokongan TNB dalam merapatkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar di negara ini. Justeru melalui Allo, TNB menawarkan perkhidmatan segmen ini dalam bentuk yang lebih pantas, lagi diyakini," katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran perasmian rangkaian infrastruktur jalur lebar peringkat negeri Melaka bagi menyokong JENDELA yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr Sulaiman Md Ali di Melaka, hari ini.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din.
Mahdzir berkata, kemudahan infrastruktur gentian optik ini membuka peluang kepada lebih ramai penduduk Melaka untuk mendapat akses kepada internet jalur lebar pada harga yang berpatutan, seterusnya capaian kepada pelbagai sumber maklumat selain pendidikan dalam talian.
Ia juga menyokong hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi pemerkasaan dalam bidang ekonomi digital, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang mencabar akibat wabak COVID-19.
"Pembabitan TNB untuk menjayakan Dasar Digital Negara adalah sesuai dengan peranan TNB selama ini sebagai Penggerak Kemajuan Negara dan kini peranan itu diperkukuhkan lagi bagi menangani cabaran Ekonomi Digital serta Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0)," katanya.
Dengan memanfaatkan rangkaian gentian optik sepanjang 18,000km yang melalui pencawang elektrik milik TNB di Semenanjung Malaysia, Allo berjaya menghubungkan 60,000 kediaman dengan rangkaian gentian optik di Melaka, Perak dan Kedah.
Kini, TNB menerusi Allo mengorak langkah bagi melebarkan sayap perkhidmatan jalur lebar di empat negeri lain iaitu Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan selain meluaskan capaian di Perak dan Kedah dengan sasaran capaian 150,000 kediaman yang dijangka selesai pertengahan tahun ini.
Allo juga sedang giat menjalin kerjasama dengan pembekal perkhidmatan runcit (RSP) lain.