Bernama - Belia main peranan penting pacu usaha pendigitalan negara - PM Muhyiddin

01 Jun 2021 - Bernama


KUALA LUMPUR: Golongan belia adalah generasi warga digital yang memainkan peranan sangat penting dalam memacu dan menjayakan usaha pendigitalan di dalam negara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Beliau berkata para belia di negara ini amat bertuah kerana dapat memanfaatkan aplikasi digital bagi menambah ilmu pengetahuan, berkomunikasi dengan satu sama lain, serta mencari peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan belia untuk terus meneroka inovasi dan menjadi pencetus idea seiring dengan perkembangan teknologi terkini,“ kata beliau ketika melancarkan program eBelia secara maya hari ini, iaitu inisiatif Belanjawan 2021.

Muhyiddin berharap belia akan mengambil peluang melalui program eBelia itu untuk menyokong usahawan tempatan yang kebanyakannya adalah dalam kalangan belia sendiri.

“Sebagai warga digital, saya percaya saudara-saudari boleh mempelopori kaedah cashless payment (pembayaran tanpa tunai), sekali gus mendorong para peniaga lain untuk menggunakan kaedah pembayaran seperti ini,“ katanya.

Beliau berkata Program eBelia itu telah ditambah baik melalui program Pemerkasa, dengan nilai kredit telah ditingkatkan daripada RM100 kepada RM150 bagi setiap penerima, yang akan dipadankan oleh penyedia e-dompet melalui pelbagai inisiatif tambahan seperti baucar, pulangan tunai dan mata ganjaran.

Muhyiddin berkata dengan peruntukan berjumlah RM300 juta, program itu dijangka dapat memanfaatkan dua juta rakyat Malaysia yang berumur 18 ke 20 tahun serta pelajar Institut Pengajian Tinggi sepenuh masa.

“Program ini juga dijangka mendorong perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk mula menerima kaedah pembayaran tanpa tunai,“ kata beliau.

Perdana menteri berkata kerajaan sentiasa menyokong rakyat dan perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengendalikan perniagaan dalam era digitalisasi, dengan transaksi pembayaran dibuat secara online (dalam talian) atau tanpa tunai.

“Laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan transaksi e-wallet pada tahun 2020 telah meningkat sebanyak 131 peratus kepada 600 juta transaksi... lebih banyak peniaga telah mendaftar untuk menerima pembayaran melalui QR Code, dengan bilangan pendaftaran meningkat lebih dua kali ganda pada akhir tahun lalu.

“Bagi belia yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan, kerajaan telah menyediakan pelbagai peruntukan dana, termasuk yang berfokus kepada mendorong peniaga-peniaga menerapkan elemen digital di dalam operasi perniagaan masing-masing,“ katanya dengan memberi contoh Dana Automasi dan Digital yang dikelolakan oleh Bank Negara.

Beliau berkata kerajaan telah mula menerapkan aspek digitalisasi dalam pelbagai urusannya, dengan sasaran pembayaran tanpa tunai bagi semua perkhidmatan kerajaan menjelang 2022, seiring dengan matlamat Belanjawan 2021 untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.

“Ini bermakna orang ramai tidak perlu lagi beratur panjang untuk membuat bayaran di kaunter... Alhamdullilah, suka saya sebutkan bahawa pada tahun lepas, sebanyak 60 peratus daripada jumlah kutipan kerajaan adalah melalui kaedah e-pembayaran,“ katanya.

Sementara itu, Muhyiddin juga menzahirkan penghargaan atas kerjasama penyedia perkhidmatan e-tunai yang terlibat dalam program eBelia serta berharap usahasama awam dan swasta seperti itu dapat diteruskan dan diperkembangkan.

Terdahulu, beliau berkata warga digital adalah penggerak utama agenda pendigitalan negara itu merangkumi 13.4 peratus atau lebih daripada 3.9 juta penduduk Malaysia.

Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu meletakkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai warga digital tertinggi di dunia, dengan warga digital terdiri daripada golongan muda berumur antara 15 dan 24 tahun, yang menggunakan internet secara aktif sekurang-kurangnya lima tahun. 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.