Bernama - Memacu potensi ICT, infrastrucktur digital terus jadi agenda utama MCMC

17 Mei 2021 -


Artikel ini adalah bersempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) yang disambut setiap tahun pada 17 Mei di seluruh dunia termasuk Malaysia.

 

Tema sambutan kali ini ialah “Memacu Transformasi Digital Semasa Tempoh Mencabar”.

KUALA LUMPUR: Pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia ketika ini turut melipatgandakan keperluan terhadap adaptasi teknologi baharu untuk menggerakkan kehidupan harian rakyat.

Hampir kebanyakan urusan kini boleh dijalankan secara dalam talian seperti membayar bil elektrik dan air, menempah makanan, membeli-belah malahan juga mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Lantaran itu, tema sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2021 iaitu ‘Memacu Transformasi Digital Semasa Tempoh Mencabar’ yang dipacu oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) adalah bertepatan sama sekali dengan perkembangan semasa.

Ianya juga seiring dengan usaha Malaysia untuk meningkatkan potensi teknologi informasi dan komunikasi (ICT) dalam membantu memulihkan ekonomi negara dan masyarakat dengan mengurangkan jurang digital antara penduduk pedalaman, pinggir bandar dan bandar di Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid19 ini.

Perkasa inisiatif jendela

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek ketika dihubungi Bernama baru-baru ini menjelaskan, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha menjayakan agenda MyDigital yang dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Februari lepas.

Menurut beliau, agensi seperti MCMC dan pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang lain memainkan peranan bagi memastikan rakyat dan negara terus mara selain memastikan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Beliau berkata, antara inisiatif berkenaan ialah memperkasa Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) sebagai teras ‘membangunkan infrastruktur digital,’ yang mana sejumlah RM21 bilion diperuntukkan oleh pihak kerajaan dan swasta bagi melaksanakan Jendela untuk memantapkan kesalinghubungan sedia ada di seluruh negara.

“Sasarannya ialah daripada 7.5 juta premis pada hujung tahun 2022 kepada sembilan juta premis akan diliputi rangkaian gentian optik talian tetap di kawasan berpenduduk secara berperingkat dengan kapasiti kelajuan 1 Gigabait per saat (Gbps) menjelang penghujung tahun 2025.

“Begitu juga liputan 4G mencapai 100 peratus di kawasan berpenduduk dengan kelajuan mencapai 100Mbps menjelang tahun 2025. Sejajar dengan sasaran tersebut, ini juga akan menyaksikan penutupan rangkaian 3G secara berperingkat yang mana 3G dijangka tamat sepenuhnya pada akhir tahun 2021, “ jelasnya.

Beliau menambah, usaha berkenaan adalah untuk mempertingkatkan kualiti rangkaian 4G sedia ada dan pelaksanaan Jendela akan memastikan Malaysia lebih bersedia untuk beralih ke teknologi rangkaian selular generasi kelima (5G) yang dipercepatkan pelaksanaannya kepada penghujung tahun 2021.

PERCEPAT PELAKSANAAN TEKNOLOGI 5G

Dalam pada itu, Fadhlullah menyatakan, pelaksanaan 5G akan dilaksanakan di lokaliti terpilih menjelang tahun 2022, manakala pelaksanaannya di kawasan berkepadatan tinggi pula menjelang tahun 2023.

Sehubungan itu, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan iaitu Digital Nasional Berhad (DNB) ditubuhkan dan dikawal selia oleh MCMC dalam usaha melaksanakan rangkaian 5G.

“Usaha ini dilihat merupakan kunci agar pihak penyedia perkhidmatan sedia ada dapat meneruskan usaha pelaksanaan gentian optik serta memperbaiki liputan dan kualiti 4G serta lebih bersedia untuk memberi perkhidmatan 5G kelak.

“DNB juga akan membina rangkaian 5G dan menawarkan kapasiti secara borong kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi berlesen secara terbuka, “ katanya.

Bagi memastikan terdapat pemangkin untuk penggunaan rangkaian 5G di negara seperti yang dirancang, beliau berkata, MCMC memperkenalkan Projek Demonstrasi 5G Malaysia (5GDP), bertujuan untuk memudah cara, membina serta memupuk pembangunan kes kegunaan yang berpotensi tinggi dalam persekitaran sebenar tetapi terkawal. Ini adalah bagi mengembangkan ekosistem 5G di Malaysia merentasi pelbagai sektor industri,” jelasnya.

Sehingga kini, kata beliau, Malaysia berjaya mendemonstrasikan 71 kes kegunaan dengan jumlah pelaburan bernilai RM131 juta di 50 tapak stesen pangkalan 5G yang terdiri daripada sembilan sektor industri, antaranya bandar pintar, hiburan/media, pelancongan, pendidikan, serta sektor pertanian.

PIK terus jadi tumpuan

Fadhlullah yang turut menyentuh jurang digital dalam kalangan masyarakat di negara ini menekankan bahawa amat perlu untuk memastikan setiap orang mempunyai akses dengan kos yang berpatutan serta kemahiran yang diperlukan untuk memanfaatkan kemudahan internet menjelang 2030.

Menurut tinjauan MCMC, kata beliau, pada masa ini hanya 50 peratus rakyat yang mempunyai kemahiran digital standard dan hanya 25 peratus yang memiliki kemahiran digital lanjutan, yang bermakna, kekurangan kemahiran digital boleh membantutkan usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap pendigitalan dalam kalangan masyarakat.

“Di sini datangnya peranan Pusat Internet Komuniti (PIK) bagi menangani isu jurang digital dari terus melebar. Melalui pelbagai kursus seperti keusahawanan, komputer dan banyak lagi yang dianjurkan, ia mampu membantu rakyat untuk mempertingkat taraf kehidupan serta literasi digital mereka.

“Sehingga kini, kita berjaya mewujudkan 873 PIK di seluruh negara. Proses transformasi yang dijalankan ke atas PIK seluruh negara memberi fokus kepada peranan PIK yang bukan sahaja bertindak sebagai pusat menjana pekerjaan baharu semata-mata bahkan juga memacu pertumbuhan aktiviti e-dagang dan penyediaan lebih banyak perkhidmatan dalam talian untuk keselesaan rakyat,” tambahnya.

Menurut beliau, sehingga akhir tahun 2020, sebanyak 2.7 juta penyertaan daripada komuniti setempat direkodkan menghadiri program serta latihan berasaskan ICT, Sains dan Teknologi, multimedia, Internet Kebendaan (IoT), e-pembelajaran dan program penglibatan komuniti yang ditawarkan oleh PIK yang juga dilihat sebagai balai raya digital oleh masyarakat setempat.

Bukan itu sahaja, sambutan yang diberikan oleh rakyat kepada PIK turut meningkat apabila jumlah ahli PIK berdaftar kini mencecah hampir 678,000 orang, manakala lebih 520,000 orang bukan ahli pula turut mendapat manfaat daripada pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di PIK.

Terus tambahbaik servis internet

Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam Dr Wan Hartini Wan Zainodin pula ketika dihubungi berpandangan, keperluan infrastruktur internet perlu terus diperluas, diperkasa, dan diselenggara dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib.

Ini, katanya, bagi terus memudahkan penggunaannya dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa khususnya, memandangkan situasi pandemik Covid-19 yang sehingga kini belum kelihatan tanda akan surut dalam masa terdekat.

“Ya memang benar apabila kita berbicara tentang penambahbaikan sistem capaian internet, ianya melibatkan kos selenggara yang amat besar. Namun kita juga harus memikirkan situasi pembelajaran secara atas talian (PdPR) yang melibatkan golongan pelajar sekolah dan mahasiswa. Sehingga kini kita boleh lihat mereka masih alami kejutan, ada yang masih belum biasa dan sebahagiannya masih cuba menyesuaikan diri mereka dengan normal baharu pendidikan ini.

“Contohnya dalam beberapa kuliah yang saya mengajar secara atas talian, jika ada 40 orang pelajar terbabit, hanya sekitar 30 orang yang betul-betul dapat capaian internet yang baik dan selebihnya mengalami masalah. Ini satu isu yang perlu difikirkan dan diperhalusi oleh semua pihak terbabit,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, masih ada pelajar khususnya dari golongan B40 yang mengalami learning anxiety kerana tidak mendapat suasana pembelajaran yang kondusif, biarpun mereka mempunyai bantuan peralatan dan gajet diperlukan ketika PdPR berlangsung.

“Keadaan itu berlaku, antaranya mungkin disebabkan keadaan rumah yang agak sempit dan ada yang perlu berkongsi gajet dengan adik-beradik yang lain. Tambahan pula pelajar ini sudah biasa belajar secara bersemuka dengan guru dan rakan-rakan, namun perkara itu tidak berlaku ketika PdPR berjalan, ini juga salah satu faktor timbulnya learning anxiety ini,” jelasnya.

Selain itu, Wan Hartini turut mencadangkan supaya kerajaan dapat memperluaskan lagi kerjasama dengan syarikat korporat yang sering melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan cara memberikan pelepasan cukai ‘tax holiday’ kepada pihak berkenaan.

“Inisatif ini dapat sama-sama membantu kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan gajet dan peralatan pembelajaran yang lain, “ katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.