Berita Harian - TM atasi sasaran pasang infrastruktur jalur lebar

15 Jan 2021 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) melepasi sasaran yang ditetapkan di bawah Pelan Infrastruktur Digital Nasional (JENDELA) untuk penggunaan infrastruktur jalur lebar tetap dengan mencapai sebanyak 124 peratus daripada keseluruhan premis untuk 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar, berkata TM berjaya memasang infrastruktur jalur lebar tetap ke 272,185 premis di seluruh negara setakat 9 Disember 2020.

"Kami sekarang teruja untuk meneruskan pelan pelaksanaan mencapai sasaran bagi 2021 dengan 300,000 premis lagi akan dilengkapi jalur lebar pada separuh pertama tahun ini," katanya kepada Bernama selepas muncul sebagai tetamu di rancangan bual bicara Bernama TV 'The Nation', hari ini.

Imri berkata, TM komited untuk meningkatkan liputan jalur lebar di bawah inisiatif JENDELA dengan 7.5 juta premis di seluruh negara dijangka akan dilengkapi jalur lebar tetap pada akhir 2022.

Katanya, TM telah menyediakan sambungan jalur lebar gentian optik kepada kira-kira lima juta premis di seluruh negara ini dengan 2.5 juta lagi premis dijangka akan dilengkapi jalur lebar dalam tempoh dua tahun akan datang.

"TM juga bersedia untuk meneroka pelbagai teknologi alternatif yang kos efektif untuk menyediakan sambungan internet kepada 1.5 juta premis lain yang telah dikenal pasti sebagai kawasan jurang (kawasan tiada liputan)," tambahnya.

Sementara itu, Imri berkata, fokus TM bagi membangunkan asas yang kukuh dengan mengutamakan infrastruktur jalur lebar tetap negara dan rangkaian generasi keempat (4G) sebelum Malaysia beralih ke teknologi generasi kelima (5G).

"Apabila kami membangunkan mudah tapak mudah alih 5G kelak, tapak berkenaan perlu dihubungkan dengan gentian optik kerana ia akan melengkapkan usaha kami dan menempatkan Malaysia dalam kedudukan yang lebih mantap ketika kita bergerak maju beralih ke teknologi 5G," katanya.

Imri berkata, TM juga bersedia untuk membangunkan infrastruktur gentian optik di seluruh negara untuk menyokong pelaksanaan JENDELA dan mempersiapkan pelaksanaan 5G di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

"Dalam perkara berkaitan evolusi teknologi dan juga pelaburan, ia harus menjadi penyelesaian yang sesuai dan kami tidak mahu TM melabur terhadapnya terlalu cepat.

"Sesuai dengan permintaan pasaran, Malaysia tidak akan menjadi kurang kompetitif dalam kemajuan teknologi ketika kita menuju ke arah Malaysia yang lebih digital," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.