Bernama - Tiara Sendayan bakal dapat infrastruktur komunikasi bulan depan - MCMC

06 Ogo 2021 - Bernama


SEREMBAN, 6 Ogos -- Lebih 1,500 penduduk di kawasan perumahan Tiara Sendayan di Mukim Labu, dekat sini bakal menerima perkhidmatan komunikasi secara berperingkat mulai bulan depan.

Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Sembilan Mohd Khairilnaim Osman berkata penyelesaian itu diambil bersama syarikat penyedia perkhidmatan komunikasi selepas menerima aduan daripada Pengerusi Persatuan Penduduk Tiara Sendayan mengenai masalah liputan telekomunikasi di kawasan tersebut.

“Bagi penyelesaian jangka masa panjang, pembinaan infrastruktur komunikasi dan penyediaan perkhidmatan akan dilaksanakan secara berperingkat memandangkan ia merupakan kawasan perumahan baharu yang memerlukan perkhidmatan komunikasi baik, “ katanya kepada Bernama hari ini

Mohd Khairilnaim berkata saranan mengangkat telekomunikasi sebagai utiliti awam dapat memberi impak kepada penyediaan perkhidmatan komunikasi secara menyeluruh dan berkualiti tinggi.

Katanya perancangan penyediaan infrastruktur komunikasi yang mampan dan inklusif amat diperlukan bagi melengkapi pembangunan selain dapat menangani permasalahan khususnya di kawasan perumahan penduduk yang baharu dibina.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan Datuk Ismail Ahmad berkata setiap pemaju projek perumahan yang membangunkan sesebuah lokasi seharusnya bekerjasama dengan MCMC, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dalam menyediakan infrastruktur yang baik.

Ismail berkata ia bagi memastikan kawasan perumahan khususnya di luar bandar dapat dibangunkan dengan baik seiring dengan perancangan pembangunan Malaysia Vision Valley.

Liputan telekomunikasi amat diperlukan dalam keperluan harian bagi memudahkan urusan pekerjaan, perniagaan dan juga pendidikan dalam situasi pandemik yang dihadapi pada hari ini. Seharusnya perkhidmatan komunikasi diangkat sebagai utiliti awam, “ katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.