KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan telekomunikasi, U Mobile, yakin semua pelanggannya akan bertukar kepada rangkaian generasi keempat (4G) susulan penamatan rangkaian 3G pada akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Pemasarannya, Jasmine Lee berkata pengendali telekomunikasi itu memulakan kempen itu dua tahun lalu, bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menggalakkan pengguna bertukar kepada rangkaian 4G bagi mendapatkan kesalinghubungan yang lebih baik.
"Apabila rangkaian 3G ditamatkan, kami akan mengalihkan spektrum itu kepada rangkaian 4G yang akan menyediakan liputan yang lebih baik kepada pengguna serta pengalaman kesalinghubungan yang lebih baik.
"Industri sedang agresif mengembangkan liputan rangkaian 4G, dan bagi tempoh dua tahun lalu U Mobile telah mengembangkan kapasiti liputan 4G ke lebih 7,400 tapak di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar di Kelantan dan Sabah," katanya pada program The Nation: JENDELA, Bernama TV, hari ini.
Menurutnya, inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) membantu mengatur industri telekomunikasi dalam mencapai potensi penuh pendigitalan negara dan mengurangkan jurang digital dalam kalangan rakyat.
"Dengan adanya JENDELA, ia menambah dimensi berbeza di peringkat nasional untuk memudahkan pelan pengembangan pengendali telekomunikasi. Ia juga menepati aspirasi kami untuk menyediakan kesalinghubungan yang lebih baik.
"Penting bagi kita untuk mempunyai agenda nasional yang akan membantu mempercepat kecekapan ketika kami bekerjasama dengan pihak ketiga bagi pelan pengembangan," katanya.
Sementara itu, Lee berkata U Mobile giat bekerjasama dengan kerajaan untuk mengenal pasti bahagian yang ia boleh tumpukan, menjelang pelancaran rangkaian 5G di bawah rangka tindakan MyDIGITAL menjelang akhir tahun ini.
"Kami telahpun melakukan beberapa ujian 5G bagi perkhidmatan pengguna dan pembuatan serta dalam teleperubatan yang dapat memberi lebih banyak manfaat kepada industri dalam mengubah cara bagaimana mewujudkan produktiviti dan kecekapan secara besar-besaran.
"Bila rangkaian 5G bermula kelak, kita perlu memastikan setiap orang mendapat kesalinghubungan yang baik dan kemudiannya akan melihat lebih banyak ledakan pemula niaga dan perusahaan yang boleh memanfaatkan penggunaan platform 5G," katanya.