Harian Metro - Baik pulih menara telekomunikasi terkesan gangguan MEASAT-3

16 Jul 2021 - Harian Metro


Kuching: Measat Global Berhad (Measat) bersama pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi sedang berusaha membaik pulih menara yang terkesan akibat gangguan pada satelit MEASAT-3 di seluruh negara.

Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, ia susulan gangguan ke atas perkhidmatan telekomunikasi di Long Semadoh, Sarawak seperti yang disiarkan oleh sebuah media tempatan pada 13 Julai lalu.

Menurutnya, gangguan itu berpunca daripada masalah teknikal pada satelit MEASAT-3.

"Kerja-kerja membaik pulih lebih 40 kawasan lain di Sarawak yang terjejas berikutan masalah teknikal pada satelit MEASAT-3 sedang giat diusahakan dan dijangka siap sepenuhnya pada minggu pertama Ogos 2021," kata kenyataan MCMC, hari ini.

Selasa lalu, sebuah akhbar tempatan Sarawak melaporkan penduduk pedalaman di kawasan tanah tinggi Long Semadoh, Ba Kelalan di Lawas merayu agar perkhidmatan telekomunikasi di kawasan itu diperbaiki segera.

Setiausaha Agung Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dayak (DCCI) Libat Langub dipetik berkata, ini kerana perkhidmatan telekomunikasi dan internet di Long Semadoh tidak berfungsi sejak sebulan yang lalu.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.