Borneo Today - 90 Peratus Kawasan Di Sarawak Bakal Nikmati Internet Berkelajuan Tinggi Menjelang 2022

06 Sep 2021 - Borneo Today


KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada keseluruhan Sarawak dapat menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi menjelang 2022 menerusi pendekatan yang sedang dilaksanakan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pendekatan tersebut akan dilaksanakan menerusi kerjasama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS). 

“(Melalui pendekatan ini) kita akan dapat meningkatkan lagi kelajuan dan juga akses kepada seluruh kawasan sama ada di bandar atau di luar bandar (di Sarawak),” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (HIITS).

Menurutnya kepentingan kesalinghubungan ini ditekankan dalam pelaksanaan Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS 2030) Sarawak yang diumumkannya Julai lepas dan perlu dimanfaatkan anggota perkhidmatan awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada sektor swasta dan rakyat.

“Strategi pembangunan ini akan membawa rakyat Sarawak mengalami pembangunan pesat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat dengan lebih banyak akses kepada peluang ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari turut meminta agensi-agensi kerajaan lain di Sarawak untuk mencontohi langkah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak yang menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi bagi melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

JTS Sarawak dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memeterai satu memorandum persefahaman dalam majlis itu untuk mewujudkan Makmal Satelit JTS-UTM bagi tujuan R&D, menerusi perkongsian teknologi, kepakaran, peluang latihan dan penyelidikan.

“(Kerjasama) ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada UTM untuk mendalami situasi sebenar dalam industri malah akan memberikan manfaat besar kepada JTS untuk berpeluang menjalankan penyelidikan yang lebih teliti dan terperinci,” katanya.

 Katanya kepentingan aspek R&D semakin terserlah sewaktu negara menghadapi krisis pandemik COVID-19 dan menurutnya projek ekonomi digital yang dilancarkannya pada 2017 telah membolehkan Sarawak melaksanakan persiapan awal menghadapi keadaan ini.

“Kalau kita tidak berinovasi, tiada R&D, tiada inisiatif untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan, mungkin kita akan mengalami krisis yang kritikal untuk berhadapan dengan situasi pada ketika ini, dalam keadaan pandemik COVID-19,” tambahnya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.