Borneo Today - Sejumlah 40 Menara Komunikasi Akan Dibina Di Pensiangan
06 Mac 2021 - Borneo Today
KENINGAU: Sebanyak 40 menara telekomunikasi akan dibina di kawasan Parlimen Pensiangan menerusi Program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pembinaan menara ini sebagai langkah meningkatkan infrastruktur telekomunikasi terutama di kawasan pendalaman.
Beliau berkata, 44 unit menara komunikasi lagi akan dinaik taraf kepada rangkaian 4G.
Katanya, penaiktarafan itu akan membolehkan penduduk di kawasan Pensiangan dapat menikmati rangkaian telekomunikasi yang lebih luas.
“Langkah ini jelas menunjukkan bahawa penduduk luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan.
“Kerajaan meluluskan projek menaiktaraf telekomunikasi yang begitu besar. Dengan ini, penduduk luar bandar akan dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolah (BAP) dan sumbangan kelengkapan sekolah kepada pelajar-pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Mansiat, hari ini.
Arthur berkata, usaha itu juga akan membantu merapatkan jurang perbezaan antara bandar dengan luar bandar serta jurang perbezaan antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung.
Tambahnya, projek pembangunan rangkaian telekomunikasi ini dijangka akan disiapkan pada 2022.
Oleh itu, penduduk diluar bandar khususnya di Parlimen Pensiangan akan dapat menikmati talian internet dan telekomunikasi yang lebih baik dari sekarang.
Katanya, kerajaan sedang mengusahakan pembinaan tambahan menara komunikasi baharu dibawah Program JENDELA clawback selepas tahun 2025. Bagaimanapun, ia masih dalam peringkat kajian yang lebih terperinci.