Pahang Media - Penduduk Kampung Mentara Baru Di Lipis Syukur Dapat Talian 4G

08 Sep 2021 - Pahang Media.my


LIPIS, 8 SEPTEMBER 2021: Penduduk Kampung Mentara Baru di sini melahirkan rasa gembira dan syukur selepas kampung berkenaan kini telah mendapat perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik melalui rangkaian 4G.
 
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Tuan Haji Zakaria Nor, walaupun lokasi kampung yang jauh dari bandar Kuala Lipis dan terletak hampir dengan sempadan negeri Pahang dan Kelantan, namun perkhidmatan internet tanpa wayar yang disediakan oleh Kerajaan akhirnya sampai juga ke kampung tersebut.
 
 “Alhamdulillah kini penduduk boleh menggunakan perkhidmatan talian 4G yang lebih laju untuk pelbagai aktiviti termasuk PDPR dan sebagainya, “katanya di sini hari ini.
 
Menara selular di kampung berkenaan sebelum ini menggunakan teknologi satelit (VSAT) yang hanya menyediakan perkhidmatan 2G dan 3G dengan keupayaan yang sangat terhad.
 
Ini menyukarkan penduduk terutama pada masa PKP kerana peningkatan mendadak terhadap penggunaan internet terutama bagi aktiviti PDPR dan BDR.
 
Namun demikian, usaha naik taraf yg dijalankan oleh SKMM dan Kerajaan Pahang telah membolehkan menara tersebut menyediakan perkhidmatan jalur lebar 4G setelah kerja-kerja penyambungan kabel gentian optik siap pada bulan April
 
Pada Mac lalu, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang bersama pihak SKMM Pahang mengadakan perbincangan bersama kepimpinan di Lipis dan meninjau lokasi menara-menara yang di bina baharu dan dinaiktaraf di sekitar Daerah Lipis termasuk di Tanjung Gahai dan Sungai Koyan.
 
Pada masa ini, hanya satu sahaja syarikat telco yang telah menyediakan perkhidmatan 4G di sana, namun demikian dengan tersedianya rangkaian gentian optik akan membolehkan stesen pemancar sedia ada dinaiktaraf bagi membolehkan syarikat telco lain menawarkan capaian perkhidmatan 4G kepada kira-kira 700 orang penduduk di kampung berkenaan.
 
Malah baru-baru ini pihak SKMM Pahang telah mengadakan lawatan dan pemantauan di menara tersebut dan turut bertemu dengan Tuan Haji Zakaria Nor dan beberapa orang penduduk Kampung Mentara Baru.
 
Beliau bersama penduduk melahirkan rasa gembira apabila dimaklumkan bahawa kerja naik taraf oleh syarikat telco lain sedang dilaksanakan dan dijangka siap sebelum penghujung tahun 2021 untuk memberi lebih pilihan kepada penduduk kampung memilih perkhidmatan jalur lebar yang ditawarkan.
 
Kerajaan Negeri Pahang bersama SKMM terus melakukan yang terbaik bagi meningkatkan perkhidmatan internet jalur lebar di seluruh negeri Pahang melalui pelan JENDEDA Fasa1 (2020-2022).


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.