Berita Harian - Terengganu bina 88 lagi menara telekomunikasi
26 Ogo 2021 - Berita Harian
SETIU: Pembinaan 88 menara telekomunikasi baharu di Terengganu dapat menyelesaikan masalah liputan rangkaian internet yang lemah terutama di kawasan luar bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata 13 menara sudah siap, 10 masih dalam pembinaan, manakala 65 lagi dalam proses akhir tender.
Beliau berkata, sebanyak 409 menara komunikasi sedia ada turut dinaik taraf kepada capaian 4G dengan 88 daripadanya siap, manakala selebihnya akan siap secara berperingkat menjelang hujung tahun ini.
"Selain itu, sebanyak 38,216 premis sedang dinaik taraf talian tetap fiber optik dengan sebanyak 22,609 premis siap dipasang. Selebihnya akan siap secara berperingkat menjelang hujung tahun depan.
"Ketika ini, terdapat 64 pusat internet komuniti di seluruh Terengganu dengan dua lagi pusat internet komuniti baharu dalam peringkat akhir tender," katanya ketika melawat tapak naik-taraf jalur lebar 4G di Kampung Payong, di sini hari ini.
Ariffin berkata, inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) banyak memberikan kesan positif kepada Terengganu dengan peningkatan liputan 4G daripada 93.54 peratus pada tahun lalu, kepada 93.83 peratus pada Mac, tahun ini.
Katanya, inisiatif JENDELA fasa 1 bertujuan meningkatkan liputan 4G kepada 96.9 peratus, selain peningkatan jalinan fiber optik kepada lebih 38,000 premis baharu di seluruh Terengganu.
"Kerjasama di antara kerajaan negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini akan memberikan liputan jalur lebar kelajuan tinggi yang lebih menyeluruh di seluruh Terengganu.
"Ini akan menyokong keperluan ekonomi digital, penyampaian aplikasi digital kerajaan negeri, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), "katanya.
Media sebelum ini melaporkan hampir 100 murid dan pelajar di Kampung Payong terpaksa menjalani PdPR di pondok rekreasi di tepi jalan dan bangsal buruk dalam ladang kelapa sawit.
Ini susulan jaringan internet yang perlahan sehingga menyukarkan mereka untuk memasuki kelas dalam talian di kediaman sendiri.