Berita Harian - Celcom, Allo tingkat khidmat jalur lebar negara
27 Mei 2021 - Berita Harian
KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd (Celcom) memeterai perjanjian akses dengan Allo Technology Sdn Bhd (Allo) bagi meningkatkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dan konvergen di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi, berkata kerjasama itu akan membolehkan kedua pihak memperluaskan perkhidmatan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) ke lebih banyak kawasan di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, Celcom juga bakal memperluaskan liputan perkhidmatan Celcom Home Fibre kepada lebih banyak isi rumah melalui infrastruktur rangkaian HSBB dan kepakaran yang disediakan oleh Allo.
Katanya, langkah itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan bagi jalinan kerjasama antara peserta industri dalam menyediakan kesalinghubungan internet berkelajuan tinggi di seluruh negara.
Kerjasama itu katanya akan mengukuhkan komitmen Celcom yang berterusan dalam penyediaan internet berkelajuan tinggi kepada lebih ramai rakyat khususnya dalam tempoh yang mencabar ketika ini.
Katanya, COVID-19 telah merubah corak penggunaan dan meningkatkan penggunaan data serta permintaan bagi internet yang lebih berkualiti.
Perkhidmatan konvergen jalur lebar katanya terus berevolusi menjadi pemangkin utama dalam ekonomi, serta memberi faedah dalam kehidupan melalui pembelajaran atas talian, bekerja dari rumah dan lain-lain.
"Perjanjian ini juga kesinambungan dalam perjalanan kesalinganhubungan konvergen yang disediakan kumpulan. Gabungan ini membolehkan kami sebagai penyedia rangkaian 4G terluas di negara serta rakan industri termasuk Allo menyediakan potensi capaian Celcom kepada 4.2 juta kediaman, serta memenuhi permintaan pengguna dengan lebih cepat dan efisyen.
"Kerjasama dengan Allo turut memperlihatkan azam kami dalam menyokong aspirasi kerajaan melalui Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang menyasarkan kesalinghubungan yang inklusif dan pengalaman digital yang lebih berkualiti.
"Selain itu, ia terus memperkukuhkan komitmen kumpulan dalam kerjasama industri dan perkongsian infrastruktur dalam mewujudkan situasi 'menang bersama', seterusnya memberi manfaat kepada rakyat, kerajaan, dan ekosistem digital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Idham berkata, melalui kerjasama ini, Celcom juga berupaya meluaskan pasaran dengan serta-merta kepada 80,000 kediaman di Melaka, Perak dan Cyberjaya.
Beliau berkata, jumlah itu akan bertambah dalam tahun ini, lebih banyak premis akan dapat menikmati perkhidmatan kesalinghubungan jalur lebar Celcom apabila Allo memperluaskan infrastruktur tersebut ke negeri lain seperti Selangor, Kedah, Johor, Penang dan Negeri Sembilan meliputi kira-kira 150, 000 kediaman.
Katanya, infrastruktur fiber Allo juga membolehkan Celcom memperluaskan perkhidmatan kesalinghubungan kepada segmen lain termasuk tawaran komersial kepada perusahaan. Ia turut menyokong matlamat kumpulan dalam menyediakan pengalaman digital terbaik kepada lebih ramai pengguna serta memenuhi komitmen kesalinghubungan digital berkualiti.
Kerjasama itu akan dilaksanakan Celcom melalui beberapa anak syarikatnya dengan Allo yang juga anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Buat permulaan, Celcom dan Allo akan menyediakan kesalinghubungan percuma ke beberapa kediaman terpilih di Melaka, membabitkan kawasan Felda Kemendor, Jasin dengan memberikan mereka perkhidmatan kesalinghubungan percuma selama enam bulan dan membantu isi rumah yang bekerja atau belajar dari rumah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allo, Rodzi Ahmad, berkata kebergantungan kepada hubungan internet terus meningkat terutamanya ketika ini yang mendesak capaian internet yang meluas.
"Kami telah menyaksikan dan memahami permintaan untuk kesalinghubungan yang lebih berkualiti dengan pelbagai pilihan perkhidmatan, dan ia menjadi objektif utama kami dalam menghubungkan pengguna dengan infrastruktur HSBB kami, selari dengan matlamat kerajaan.
"Kerjasama ini memperlihatkan Celcom juga mempunyai matlamat yang sama seperti Allo. Bersama-sama kami akan menggunakan peluang ini untuk merapatkan jurang digital dengan mengupayakan kawasan yang belum dicapai (tiada hubungan melalui fiber) serta mempertingkatkan penggunaan jalur lebar.
"Allo komited untuk memperluas infrastruktur fiber kami dan lebih ramai rakan industri akan mempunyai keupayaan menyediakan perkhidmatan untuk memperluaskan perkhidmatan mereka di lebih banyak kawasan di seluruh negara," katanya.
Pautan: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2021/05/821292/celcom-allo-tingkat-khidmat-jalur-lebar-negara