Utusan Borneo - Capaian internet lemah, SKMM turun padang bantu pelajar terkesan
17 Jun 2021 - Utusan Borneo
KENINGAU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( SKMM) mengambil pelbagai usaha bagi memastikan masalah kesalinghubungan di kawasan yang mengalami capaian Internet lemah dapat ditangani.
Jurucakap Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam satu kenyataan berkata tindakan itu dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap masalah capaian Internet lemah yang dihadapi oleh seorang pelajar tingkatan lima Atiqah Nurqistina Jamain di Kampung Ranggom di sini.
“Pihak SKMM sudah mengadakan pertemuan dengan wakil penyedia perkhidmatan beberapa syarikat teleco bersama pelajar berkenaan beberapa hari lalu bagi memahami masalah dan keperluan pelajar yang terkesan itu.
“Semasa lawatan tersebut, ujian kelajuan jalur lebar turut dijalankan di kawasan rumah pengadu dan hasil ujian mendapati liputan di lokasi adalah tidak memuaskan,” katanya.
Menurutnya sebagai langkah sementara dalam meringankan kesusahan yang dihadapi, kerja-kerja pengoptimuman akan dijalankan oleh salah satu syarikat telco di lokasi menara terdekat iaitu di Kampung Labak Baru Bingkor.
“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atiqah juga boleh mendaftar dan menjadi ahli Pusat Internet Komuniti (PIK).
“Sepanjang PKP ini, beliau boleh mengguna pakai kemudahan wifi yang sedia ada di PIK tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa PKP dan boleh memanfaatkan kemudahan yang disediakan,” katanya.
Dalam pada itu juga sebagai penyelesaian jangka panjang, pihak SKMM menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sudah dirancang.
“Sebuah menara akan dibina oleh salah sebuah syarikat telco terpilih menerusi projek JENDELA di Kampung Sungai Apin-Apin yang terletak lebih kurang 0.77 kilometer dari Kampung Ranggom.
“Pembinaan menara ini yang dijangka siap pada bulan April 2022 akan menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi oleh pelajar berkenaan dan penduduk di sekitar Kampung Ranggom,” katanya.