Utusan Malaysia - Capaian internet di Pendang lancar April 2022

30 Jun 2021 - Utusan Malaysia


PENDANG: Penduduk di daerah ini bakal mendapat capaian internet dan liputan telekomunikasi yang lebih lancar selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selesai menaik taraf alat pemancar di sini menjelang April tahun depan.
 
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, kerja-kerja menaik taraf beberapa alat pemancar kepada teknologi 4G/LTE akan dapat menambah baik capaian internet di daerah itu.
Menurutnya, alat pemancar tersebut itu terletak di Kampung Charok Kudong, Hujung Keton, Linchan, Padang Durian, Lubuk Dalam, Watt Paya Mak Insun.
 
Katanya, beberapa kawasan lagi seperti Bukit Jambul, Bukit Pinang, Paya Kelubi dan Paya Lipai juga akan ditambah baik capaian internet dan liputan telekomunikasi.
 
“Saya harapkan masalah liputan internet yang lemah sehingga menimbulkan masalah kepada pelajar untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di beberapa kampung di daerah ini dapat diatasi selepas alat pemancar tersebut dinaik taraf,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
 
Utusan Malaysia pada 28 Jun lalu melaporkan lebih 50 pelajar dari Kampung Bukit Tok Haji di sini kecewa apabila mereka tidak dapat mengikuti sesi PdPR dengan lancar berikutan capaian internet yang lemah di kampung tersebut.
 
 
Sebahagian pelajar di kampung itu terpaksa belajar di dalam kebun getah atau berpanas di tepi jalan utama di luar kampung untuk mendapatkan talian internet bagi mengikuti PdPR.
 
Terdapat juga dalam kalangan mereka yang terpaksa pergi ke rumah saudara mara di luar kampung itu yang mempunyai talian internet  lebih baik untuk tujuan tersebut.
 
Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia memberitahu, pihaknya telah beberapa kali membuat aduan mengenai masalah capaian internet yang lemah itu kepada SKMM untuk diberikan perhatian dengan segera bagi menangani masalah berkenaan.
 
“Dalam PKP 3.0 fasa pertama ini, capaian internet dan liputan telekomunikasi merupakan antara aspek yang penting dan tidak boleh dipandang mudah kerana ia merupakan keperluan utama kepada pelajar supaya tidak ketinggalan dalam PdPR,” ujarnya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.