Apakah itu JENDELA?


Jalinan Digital Negara atau JENDELA adalah sebuah rancangan penyediaan infrastruktur digital yang komprehensif bertujuan untuk memberi perkhidmatan Internet tetap dan mudah alih yang berkualiti kepada pengguna. Penularan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mendesak Kerajaan untuk bertindak dengan segera dalam menghasilkan sebuah rancangan yang dapat menangani isu akses kepada Internet berkualiti bagi perkhidmatan tetap dan mudah alih. JENDELA akan memastikan aktiviti seperti bekerja dari rumah, perniagaan dalam talian dan juga pembelajaran dalam talian dapat diteruskan walaupun negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

 

Bagaimana JENDELA terbentuk?


Pandemik COVID-19 telah mendesak Kerajaan untuk memikir semula kepentingan infrastruktur digital negara dan mencari jalan bagi memperbaiki serta mengukuhkan infrastruktur digital sedia ada agar semua lapisan masyarakat dapat menerima manfaat dan mampu berdepan dengan peralihan kepada ekonomi digital. MCMC sebagai badan yang mengawal selia industri Komunikasi dan Multimedia telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Makmal Infrastruktur Digital Negara (Makmal IDN) yang telah bersidang antara 13 Julai hingga 14 Ogos 2020. Makmal tersebut telah disertai oleh kementerian, agensi kerajaan, pemberi perkhidmatan tetap dan mudah alih (Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, TM dan TIME).

 

Berapa lamakah tempoh pelaksanaan JENDELA?


Pelaksanaan JENDELA akan dijalankan secara berfasa dan dijangka akan mengambil masa selama lima (5) tahun (2021-2025).
 

Apakah hasil perbincangan Makmal IDN sehingga tercetusnya JENDELA?

 

Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan menjadi sebuah platform pemudah cara komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia yang ke-12 (2020-2025). JENDELA akan dilaksanakan secara berfasa:


Fasa 1 (2020 – 2022):

Fasa 1 JENDELA telah pun bermula dan dijangka siap pada tahun 2022. Fasa permulaan ini akan memastikan sumber-sumber yang sedia ada digunakan secara optimum bagi capaian akses tetap dan mudah alih: 

  • Meluaskan liputan rangkaian 4G daripada 91.8% kepada 96.9% di kawasan berpenduduk;

  • Mempertingkatkan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps; dan

  • Mengadakan akses kelajuan gigabit bagi perkhidmatan tetap kepada 7.5 juta premis.

 

Fasa ini juga akan menutup rangkaian 3G secara berperingkat yang mana 3G dijangka tamat sepenuhnya pada akhir tahun 2021. Usaha ini adalah untuk mempertingkatkan kualiti rangkaian 4G dan secara tidak langsung memberi dasar yang kukuh bagi pelaksanaan rangkaian 5G kelak.


Fasa 2 (2022-2025):

  • Fasa 2 JENDELA akan memberi tumpuan untuk merapatkan jurang digital yang tidak tercapai ketika fasa 1, pengenalan kepada teknologi “akses tanpa wayar tetap” (FWA) dan teknologi-teknologi lain yang bersesuaian. Fasa ini juga akan menjadi titik permulaan penting peralihan negara kepada rangkaian 5G, yang bakal berlaku apabila sasaran-sasaran untuk memantapkan rangkaian 4G dan pembinaan gentian optik di bawah Fasa 1 telahpun disempurnakan.


 

Apakah manfaat JENDELA?


JENDELA bermatlamat untuk memberi pengalaman pengguna yang berkualiti dan capaian akses 100% di seluruh negara:

  1. Pendidikan/Produktiviti – pembelajaran di rumah dan bekerja dari rumah

  2. Industri – membantu dalam paralihan digitalisasi bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) /memastikan perniagaan dapat kembali pulih dan berkembang.

  3. Komuniti/ Masyarakat – sentiasa terhubung dan kelangsungan gaya hidup digital.

Jika semua akan mendapat sambungan kepada Internet, adakah pengalaman tersebut akan sama untuk seluruh negara?


Pengalaman pengguna ketika mengakses jalur lebar mudah alih akan berbeza bergantung kepada kedudukan geografi masing-masing. Jarak kedudukan pengguna dengan menara telekomunikasi akan mempegaruh kualiti isyarat yang diterima. Contohnya, apabila berada di luar rumah isyarat yang diterima lebih jelas berbanding berada di dalam rumah. Manakala, apabila pengguna menghampiri menara komunikasi, isyarat yang diterima akan mula bertambah jelas.

Kualiti penggunaan (QoE) akan berbeza berbanding berada di dalam atau luar rumah. Ini dipengaruhi beberapa faktor seperti rupa bentuk permukaan sekeliling, pemukaan sekeliling (luas dan mendatar atau dikelilingi bangunan), jenis bangunan berhampiran (bangunan tinggi atau rendah), dan sebagainya. Melalui JENDELA pengguna boleh membuat penilaian sendiri berkenaan liputan dan kualiti perkhidmatan di kawasan kediaman mereka. Ia juga akan menyediakan platform bagi membantu pihak kerajaan dan juga agensi dalam merancang dan membangun infrastuktur digital dengan kadar yang cepat pada masa akan datang.  
 

Mengapakah perlu berpindah daripada rangkaian 3G kepada 4G?


Rangkaian teknologi 4G lebih mantap dari segi kualiti penggunaan (QoE) dan kapasiti aliran data berbanding teknologi 3G. Bagi mempertingkatkan kapasiti 4G, spektrum yang diguna pakai oleh rangkaian 3G perlu dilepaskan supaya ianya boleh diagihkan semula kepada rangkaian 4G. Spektrum adalah sumber yang terhad dan perlu diagih semula bagi pemantapan rangkaian 4G. Antara ciri-ciri 4G yang membuat rangkaian ini sesuai diguna adalah kebolehannya untuk mengalir data berkapasiti tinggi berbanding teknologi 3G. Aspirasi JENDELA adalah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna dengan mengurus dan memperbaiki kualiti rangkaian 4G dan secara tidak langsung, usaha ini akan mempertingkatkan kualiti penggunaan (QoE) yang tinggi.
 

Apakah akan berlaku terhadap peranti 3G yang sedia ada apabila rangkaian tersebut bakal ditamatkan dan beralih sepenuhnya ke 4G?


Syarikat penyedia perkhidmatan dan kerajaan akan memastikan agar pengalaman kualiti penggunaan bertambah lebih baik di bawah inisiatif JENDELA. Bagi memastikan aspirasi tersebut tercapai, penamatan rangkaian 3G akan memberi ruang bagi penambahbaikan rangkaian 4G supaya ia boleh diurus secara optimum.

Kemajuan teknologi dan kematangan teknologi 4G telah melihat harga peranti-peranti di pasaran semakin murah bagi pihak pengguna. Syarikat penyedia perkhidmatan juga akan menyediakan promosi khas bagi pelanggan yang ingin mendapatkan peranti baharu ketika fasa penamatan rangkaian 3G dan secara tidak langsung dapat menikmati perkhidmatan yang lebih berkualiti dengan rangkaian 4G.

 

Bagaimanakah JENDELA dapat merangsang pertumbuhan ekonomi digital negara?


Capaian akses digital yang berterusan tanpa sebarang gangguan dan inklusif adalah asas dalam memacu ekonomi digital negara.
 
Ia beraspirasi untuk memberi kesan positif terhadap transformasi industri tradisional dalam menggunakan teknologi bagi membantu mempertingkatkan produktiviti secara menyeluruh. Melalui aktiviti ekonomi digital seperti e-dagang dan teknologi kewangan (fintech), ternyata pertumbuhan ekonomi digital dapat dipercepatkan dan diperluaskan jangkauan perniagaan ke seluruh pelosok negara. Usahawan kecil dapat memperkembangkan aktiviti pemasaran dan transaksi dalam talian.

 

Adakah ini bermaksud rangkaian 5G bakal ditangguhkan? Bagaimanakah Malaysia akan kekal berdaya saing dengan negara lain yang telah melancarkan rangkaian 5G secara komersial?


Memandangkan Malaysia sedang giat mengharungi Revolusi Industri, kebanyakan industri telahpun berkembang dan mula bergantung kepada rangkaian 4G untuk menggunakan aplikasi-aplikasi dan penyelesaian dalam mengoptimumkan operasi perniagaan mereka. Oleh itu, permintaan terhadap perkhidmatan rangkaian 4G telah mula meningkat dan menjadi lebih penting untuk pengalaman 4G yang lancar dan mantap untuk membolehkan lebih banyak industri terlibat dalam transformasi digital.
 
JENDELA akan mengutamakan pemantapan rangkaian tetap dan rangkaian 4G negara sebagai asas dalam proses peralihan kepada teknologi 5G. Bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam Fasa 1, industri telekomunikasi akan memperluaskan liputan dan memastikan kualiti pengalaman yang lebih baik dengan menaik taraf dan membina menara telekomunikasi 4G yang baharu dan juga menambah laluan gentian optik hampir ke semua premis.

Liputan 4G juga akan diperkembangkan ke kawasan-kawasan pedalaman, mempertingkatkan liputan dalam bangunan bagi kawasan bandar dan pinggir bandar, capaian jalur lebar tetap dengan teknologi gentian optik dan teknologi komunikasi lain-lain (seperti akses tanpa wayar tetap (FWA) dan satelit) bagi memastikan liputan di seluruh negara dapat dipertingkatkan.

Sementara itu, penyedia perkhidmatan gentian optik juga akan memberi kerjasama dalam penyediaan infrastuktur gentian optik ke kawasan perindustrian bagi memberi sokongan terhadap peningkatan dari segi kapasiti dan juga aliran traffik tinggi pada masa akan datang. Secara tidak langsung, rangkaian gentian optik ini akan menjadi asas bagi rangkaian 5G yang mana rangkaian ini adalah lebih stabil, fleksibel dan boleh diguna pakai dalam pelbagai aplikasi komersial.

Melalui pendekatan ini, apabila rangkaian 5G bakal diperkenalkan, ianya akan lebih efektif dan berkualiti. Jika pelaksanaan rangkaian 5G didahulukan tanpa perancangan yang sistematik, ia akan melebarkan jurang digital dalam komuniti dan kos pelaksanaan tinggi, yang secara tidak langsung akan dipindahkan kepada pengguna. 

 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.